PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan melibatkan seorang pegawai kanan berkaitan projek teknologi maklumat.
DBKL berkata, pihaknya memandang serius sebarang isu berkaitan integriti, ketelusan dan tadbir urus serta menghormati proses undang-undang negara ini.
“DBKL mengambil maklum laporan media berhubung perkara itu dan sedang meneliti langkah-langkah penambahbaikan dalaman bagi memperkukuh sistem pemantauan dan pencegahan rasuah dalam organisasi.
“Kami ingin menegaskan bahawa DBKL komited untuk memastikan semua urusan dijalankan secara telus, akauntabiliti dan berintegriti, sejajar dengan nilai perkhidmatan awam yang berlandaskan amanah rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Semalam, seorang pegawai kanan gred JUSA B yang berkhidmat di agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu antara tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat rasuah sejak 2014.
Pegawai berusia lingkungan 50-an ditahan sekitar pukul 4 petang semalam di pejabatnya, manakala pemilik syarikat merupakan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan sekitar pukul hingga 2 petang.
Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat rasuah sejak 2014 di mana suspek berjawatan pemilik syarikat terbabit dipercayai telah membayar rasuah kepada pegawai PBT berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di PBT terbabit.
Susulan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000 selain empat peranti telekomunikasi diikuti dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton.
SPRM juga membekukan 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat melibatkan nilai lebih RM7 juta.-UTUSAN










