KUALA KANGSAR: Syarikat penaja jersi pemain pasukan Perak Bison yang muncul juara Liga Sepak Takraw (STL) GP Perak pada saingan di Stadium Indera Mulia di Ipoh pada Ahad lalu, AFX Jersey turut bangga dengan kejayaan tersebut.
AFX merupakan pengeluar jersi sukan berasal di Kuala Kangsar yang diasaskan oleh seorang anak muda, Zarul Iskandar pada tahun 2018 selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda.
AFX Jersey menerima bantuan pinjaman keusahawanan daripada Yayasan Perak berjumlah RM15,000 tanpa faedah.
Bantuan keusahawanan daripada agensi kerajaan negeri itu selari pelan Perak Sejahtera 2030 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi Flagship Ke-6, iaitu Membasmi Miskin Tegar 2025 melalui Program Pinjaman Tabung Usahawan.
Selain itu, syarikat itu juga menerima bantuan Tekun Nasional sebanyak RM25,000 bagi mengembangkan operasinya dan kini mempunyai 10 pekerja.
Zarul, 31, berkata, peluang dan sokongan daripada warga Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) serta penggiat sukan di Kuala Kangsar juga menjadi pemangkin jenama AFX.
Dia mengakui gembira dengan pencapaian Perak Bison kerana secara tidak langsung mempopularkan produk jersi yang dihasilkan syarikatnya.
Menurutnya, kejayaan itu melariskan jualan jersi semasa kejohanan STL GP Perak yang berlangsung tempoh hari.
“Sangat bangga dapat membawa nama Kuala Kangsar ke peringkat nasional dengan menjadi penaja pasukan Perak Bison. Lima tahun dari sekarang, AFX mahu menempatkan diri dalam arena sukan sepak takraw sebagai penaja rasmi untuk pasukan kebangsaan,” katanya.
Menurutnya, kejayaan pasukan Perak itu juga dilihat positif kerana turut mengembangkan jenama produk usahawan tempatan dalam bidang sukan, yang lazimnya didominasi oleh jenama
asing.
Jelas Zarul, nama AFX dicipta dengan mengambil inspirasi daripada nombor pendaftaran motosikal milik bapanya yang digunakan semasa memulakan perniagaan.
Tambahnya, minat terhadap bola sepak dan mempunyai kemahiran menyunting grafik menjadi dorongan kepadanya untuk memulakan perniagaan tersebut.
“Saya gabungkan kemahiran dan minat ini dalam bentuk grafik poster dan rekaan jersi pasukan bola sepak saya. Bermula dari itu, ada permintaan sehingga berkembang menjadi sekarang,” katanya.
AFX turut menghasilkan barangan pakaian sukan lain seperti windbreaker, jaket, seluar serta beberapa lagi dan antara pelanggan utama ialah rakan-rakannya, pelajar universiti selain agensi-agensi kerajaan.
Zarul memberitahu, dia hampir tidak mampu meneruskan perniagaan akibat kehilangan ibunya yang meninggal dunia pada awal tahun 2023.
“Ibu menjadi pembimbing dan penasihat kepada AFX. Kehilangan ibu membuatkan saya hilang fokus pada tahun tersebut. Namun saya dikelilingi ahli keluarga, rakan serta pekerja yang sentiasa menyokong saya,” katanya. – UTUSAN