'DAP Pulau Pinang hormati arahan tidak berhimpun, akan buat laporan polis'

‘DAP Pulau Pinang hormati arahan tidak berhimpun, akan buat laporan polis’

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : DAP Pulau Pinang membuat keputusan untuk tidak menyertai himpunan di Kepala Batas petang tadi kerana menghormati arahan Ketua Polis negeri untuk tidak berbuat demikian.

Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, sehubungan itu, pihaknya memutuskan untuk tidak menggerakkan ahli parti itu bagi turut serta dalam himpunan tersebut.

Pada masa yang sama katanya, hanya wakil tempatan hadir bagi mengedarkan Jalur Gemilang sempena bulan sambutan Hari Kebangsaan, sebagai usaha memupuk semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan rakyat.

“Namun, di satu pihak lagi, perarakan oleh kumpulan Akmal Saleh (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh) jelas merupakan satu pengingkaran terhadap arahan polis dan pelanggaran undang-undang selain provokasi yang menggugat ketenteraman awam,” katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa polis untuk mengambil tindakan tegas terhadap Muhamad Akmal untuk memberi isyarat bahawa tindakan provokasi seperti ini tidak dibenarkan di negara ini terutamanya dalam bulan Kebangsaan yang sepatutnya menggalakkan perpaduan dan bukannya perpecahan.

“Dalam hal ini juga, DAP Pulau Pinang akan membuat laporan polis terhadap insiden yang berlaku hari ini (Himpunan Solidariti Jalur Gemilang di Kepala Batas),”ujar beliau.

Semalam, Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail menasihatkan semua pihak untuk tidak menyertai perhimpunan berkaitan Jalur Gemilang di Kepala Batas, hari ini.

Menurut beliau, hal ini demikian bagi memastikan agar keselamatan penduduk setempat serta ketenteraman awam lebih terjamin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN