Cuaca panas: Sekolah di Selama disaran tangguh aktiviti luar - Utusan Malaysia

Cuaca panas: Sekolah di Selama disaran tangguh aktiviti luar

A. SIVANESAN (kiri) melawat ladang khinzir fasiliti moden, mesra alam dan bebas pencemaran di Ayer Kuning, Tapah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pengetua dan guru besar sekolah di Selama diminta supaya menangguhkan buat sementara, semua aktiviti bersifat fizikal di luar sekolah ekoran gelombang haba luar biasa di kawasan itu dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah Selsius.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, penangguhan itu bukan bersifat mandatori tetapi bersifat sementara sehingga tahap suhu kembali normal.

“Difahamkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), cuaca akan berubah selepas September (Oktober). Kalau boleh hentikan sahaja aktiviti-aktiviti luar (fizikal) di sekolah.

“Sekiranya ingin diadakan pun pada waktu pagi sejam atau dua jam sudah mencukupi. Aktiviti sukan dan aktiviti-aktiviti luar tolong tangguhkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan di sebuah ladang khinzir fasiliti moden, mesra alam dan bebas pencemaran di Ayer Kuning, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir.

Sivanesan turut menasihatkan orang ramai supaya minum air dengan secukupnya dan pihak sekolah di Selama disarankan menyediakan air minuman yang mencukupi untuk keperluan pelajar.

Katanya, pekerja yang bekerja di bawah cuaca panas seperti penyelenggaraan jalan perlu menjaga kesihatan dengan sebaiknya selain mengatur jadual bekerja lebih awal.

“Hospital dan klinik awam di seluruh negeri telah mengadakan persediaan awal bagi menghadapi suhu panas ekstrem ini sejak bulan Mac lalu.

“Mereka yang diserang strok haba boleh mendapatkan rawatan lanjut dengan segera tanpa bertangguh di fasiliti perubatan awam terdekat pada bila-bila masa,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga daerah dicatatkan di Semenanjung membabitkan Bandar Baharu di Kedah, Selama (Perak) dan Temerloh (Pahang) merekodkan suhu luar biasa antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

Katanya, fenomena tersebut berlaku akibat fasa Monsun Barat Daya yang dijangka melanda negara hingga pertengahan Oktober ini. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN