KUALA LUMPUR: Cadangan pembangunan bersama di Laut Sulawesi antara Malaysia dan Indonesia masih di peringkat pertimbangan awal dan belum dimuktamadkan sekali gus tidak menjejaskan tuntutan maritim serta kepentingan Sabah Timur.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu hanya sebahagian daripada usaha awal kedua-dua pemimpin negara untuk meneroka penyelesaian terbaik dalam isu persempadanan maritim yang saling menguntungkan.
“Maka, tiada isu berhubung kebarangkalian cadangan ini menjejaskan kepentingan negara kerana ia belum lagi dimulakan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi (BN–Kalabakan) mengenai jaminan strategik kerajaan agar cadangan kerjasama pembangunan bersama di Laut Sulawesi dengan Indonesia tidak menjejaskan tuntutan maritim Malaysia khususnya di perairan Sabah Timur.
Mohamad berkata, sebarang keputusan melibatkan persempadanan maritim akan dibuat selepas penilaian terperinci, berhati-hati dan menyeluruh termasuk mengambil kira pandangan serta pendirian kerajaan Sabah bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara.
Katanya, perbincangan sempadan maritim dilaksanakan berlandaskan prinsip perundangan dan teknikal secara teliti, cermat serta berhemat.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Sabah dalam proses rundingan ini. Wakil Kerajaan Sabah turut dilibatkan dalam mesyuarat dan rundingan teknikal persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia.
“Oleh itu, kerajaan kekal komited memperhalusi dan mencapai kesepakatan menerusi mekanisme rundingan sedia ada demi mempertahankan kedaulatan negara termasuk kepentingan Sabah,” katanya. – UTUSAN










