PUTRAJAYA: Cadangan untuk menggubal undang-undang Akta Anti Buli yang menggunakan sistem tribunal bagi mendengar kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu akan dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Nanti (Azalina) akan bawa ke (mesyuarat) Kabinet, kita akan bincang di Kabinet,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Azalina berkata, kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal Akta Anti Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal, bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.
Beliau berkata pada masa ini, tiada definisi khusus atau hukuman yang jelas berkaitan kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, ketika ini tiada undang-undang khas diperuntukkan bagi kesalahan buli, sebaliknya mengguna pakai Kanun Keseksaan dan undang-undang lain, namun kerajaan telah meminda dan memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan.
Pada masa sama kerajaan telah meminda Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang membolehkan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak di Sabah dan Sarawak.
Sebelum ini, seluruh negara digemparkan dengan kes dikaitkan buli membabitkan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Sabah.
Selain kes Zara Qairina, desakan turut dibuat supaya pihak berkuasa membuka semula siasatan jenayah terhadap kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang meninggal dunia dalam tandas sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, di sini, 12 tahun lalu.
Pada awalnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun pada Jun 2016, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan bahawa mangsa telah dibunuh.
Susulan itu, keluarga Allahyarham memfailkan saman sivil terhadap Kerajaan Persekutuan, Ketua Polis Negara dan pegawai penyiasat atas dakwaan kecuaian serta pelanggaran tanggungjawab, selain menuntut ganti rugi am, khas dan lain-lain. – UTUSAN