Cabaran Ngail Nismilan lonjak pelancongan rekreasi di Tasik Seremban

Cabaran Ngail Nismilan lonjak pelancongan rekreasi di Tasik Seremban

seremban
Aminuddin Harun berpasa para pemenang Cabaran Ngail Nismilan 2025 di Tasik Seremban baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tasik Seremban kembali menjadi tumpuan pelancongan apabila lebih 1,000 kaki pancing dari seluruh negara berkumpul bagi menyertai Cabaran Ngail Nismilan 2025, acara tahunan yang semakin mendapat tempat dalam kalendar pelancongan domestik.

Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan kerjasama NS Events, serta sokongan penuh Tourism Malaysia, dilihat sebagai antara inisiatif awal yang menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Selain menawarkan hadiah wang tunai dan cabutan bertuah berupa kepingan emas, acara ini berjaya menarik penyertaan peserta dari pelbagai negeri termasuk Johor, Melaka, Selangor, dan Kuala Lumpur — sekali gus membuktikan kekuatan acara berbentuk rekreasi dalam merancakkan sektor pelancongan luar bandar dan tasik semula jadi.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, sambutan luar jangkaan daripada peserta membuktikan potensi besar pertandingan seperti ini sebagai produk pelancongan.
“Kami pada awalnya menyasarkan sekitar 700 penyertaan, tetapi kehadiran melebihi 1,000 peserta membuktikan minat mendalam rakyat terhadap aktiviti santai seperti memancing, lebih-lebih lagi di lokasi yang cantik dan mudah diakses seperti Tasik Seremban,” katanya.
Melihat kepada sambutan positif itu, pihak MBS bercadang untuk memperluaskan konsep ini menerusi siri pertandingan ‘GP Joran Nismilan’ di pelbagai tasik rekreasi dan lokasi berpotensi lain di seluruh Negeri Sembilan.
Siri GP Joran ini akan menjadi antara program utama pelancongan sempena sambutan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, dalam usaha menjadikan aktiviti memancing sebagai tarikan pelancongan baharu negeri ini.
Tiupan sorakan dan keterujaan turut kedengaran apabila seekor ikan spesies Mekong dianggarkan seberat lebih 40 kilogram berjaya dinaikkan oleh salah seorang peserta. Namun, tangkapan tersebut telah dibatalkan atas sebab-sebab teknikal mengikut syarat pertandingan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Tasik Seremban, yang terletak di tengah bandar dan berhampiran tarikan warisan seperti Bangunan Wisma Negeri dan Jalan Yam Tuan, dilihat berpotensi menjadi lokasi pelancongan ikonik bagi aktiviti berasaskan alam semula jadi dan riadah keluarga.
Penganjuran Cabaran Ngail Nismilan bukan sahaja meningkatkan kedatangan pelancong, malah memberi peluang kepada pengusaha kecil, usahawan makanan, serta komuniti setempat untuk turut serta menjana ekonomi.
Dengan strategi pelancongan yang berfokuskan aktiviti komuniti, budaya dan alam semula jadi, Negeri Sembilan kini berada di landasan tepat untuk menjadi antara destinasi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa menjelang 2026. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN