SETIU: Acara berbasikal Gleywak Bike Camp di Ulu Kasar Adventure Park, di sini bukan hanya menarik minat penggemar basikal dalam negara malah diikuti peserta dari Thailand dan Singapura.
Penganjur program, Ghazali Kori berkata, bagi mengikuti acara itu, ada sebahagian peserta sanggup mengayuh basikal beratus kilometer dari negara mereka untuk sampai ke Ulu Kasar Adventure Park.
“Gleywak Bike Camp siri kedua berjaya menghimpunkan kira-kira 250 peserta termasuk dari Singapura dan Thailand yang mana penglibatan mereka bukan sahaja untuk berkongsi ilmu touring dan pengembaraan, malah memperkenal Terengganu kepada pelancong luar.
“Acara ini juga berjaya mengumpulkan hampir 30 kelab basikal dari seluruh negara sekali gus mengukuhkan lagi hubungan komuniti berbasikal di Malaysia, Thailand dan Singapura,” katanya di sini.
Sementara itu, seorang peserta dari Patani, Thailand, Anas Mohamad Nasir, atau lebih dikenali sebagai Anasstaser, 42, berkata, acara berbasikal berkenaan telah ‘memperkenalkan’ keindahan dan keunikan budaya negeri ini kepadanya.
“Saya seronok melihat budaya dan produk tempatan di sini sambil menjalin ukhuwah bersama rakan-rakan. Terengganu mempunyai sejarah dan jalinan yang kuat dengan Pattani dari segi budaya, warisan serta makanan,” katanya.
Sementara itu bagi Yazid Swee, 35, dari Singapura, dia sangat teruja apabila dapat menyertai program seperti itu dan menjadi pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke negeri ini.
“Saya sangat gembira dapat sampai ke Terengganu dan seronok dapat berjumpa kawan-kawan dari Malaysia, merapatkan ukhuwah serta berkongsi pengalaman mengembara. Banyak ilmu baharu terutama daripada rakan-rakan di Malaysia,” ujarnya.
Gleywak Bike Camp menjadi salah satu tarikan tahunan yang dinanti-nantikan oleh komuniti berbasikal dan pencinta alam di rantau ini sekali gus mempromosikan Terengganu di mata dunia. – UTUSAN