PUTRAJAYA: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) berharap kerajaan dapat terus melanjutkan insentif pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik (EV) yang diimport penuh (CBU) menerusi pembentangan Belanjawan 2026, Oktober ini.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, insentif pengecualian cukai bagi EV itu perlu memandangkan tahap penggunaan EV di Malaysia masih lagi rendah.
“Bagi pihak Pekema sendiri, saya ingin menyatakan hasrat agar kerajaan mempertimbangkan untuk menyambung pengecualian cukai EV pada tahun hadapan.
“Hal ini kerana walaupun insentif pengecualian cukai telah diwar-warkan sehingga hujung tahun ini namun, tahap penggunaan EV di Malaysia masih lagi rendah,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam sempena Kejohanan Golf Amal Piala Presiden Pekema 2025 di sini, hari ini.
Ketika ini, kerajaan mengecualikan cukai bagi EV CBU dan ia dijangka berakhir pada 31 Disember depan.
Ini bermakna duti import, duti eksais, dan cukai jualan akan dikenakan pada model CBU selepas tarikh tersebut, menyebabkan kenaikan harga ketara.
Bagaimanapun, kerajaan masih memberi pengecualian cukai untuk EV pemasangan tempatan (CKD) yang akan diteruskan sehingga akhir 2027, sementara EV CKD juga menikmati pengecualian cukai jualan.
Sementara itu, Mohamed Nazari berkata, Pekema kini sedang meneliti cadangan bagi membangunkan CKD EV di negara ini, susulan minat tinggi pelabur luar termasuk dari China yang melihat Malaysia sebagai hab automotif serantau.
“Kami kini berada pada peringkat awal perbincangan dengan dua hingga tiga pihak bagi tujuan kerjasama strategik itu.
“Antara jenama yang dikenal pasti termasuk Dongfang dari China yang dijangka dipasang secara CKD di Malaysia bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan,” katanya.
Katanya, buat masa ini, cadangan pemasangan CKD di Perak dilihat sebagai lokasi paling lengkap untuk pengilangan EV. – UTUSAN