Bayi ditemui dalam bungkusan pelikat

Bayi ditemui dalam bungkusan pelikat

KEADAAN bayi yang ditemukan masih bernyawa ditinggalkan di sebuah pondok bas, Jalan Lama Kulim menghala ke Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang bayi lelaki masih bernyawa ditemui dalam satu bungkusan kain pelikat di sebuah pondok bas, Jalan Lama Kulim menghala ke Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali di sini hari ini.

Bayi yang sempurna dan cukup sifat itu ditemukan oleh orang awam di atas lantai pondok bas tersebut kira-kira pukul 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang menjumpai seorang bayi yang masih bernyawa di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati, bayi yang sempurna dan cukup sifat itu dibalut dengan menggunakan sehelai kain pelikat.

“Bayi tersebut dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Zaizul Rizal memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Puteh atau boleh menghubungi Hotline IPD Pasir Puteh di talian 09-786 2005.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN