PETALING JAYA: Bank of Thailand (BOT) memotong kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 1.5 peratus semalam, pemotongan keempat dalam tempoh 10 bulan untuk menyokong kelembapan ekonomi yang bergelut dengan kejatuhan harga, kesan tarif AS dan penurunan pelancong asing.
BOT mengekalkan unjuran pertumbuhan pada 2.3 peratus tahun ini (2026: 1.7 peratus), inflasi utama 0.5 peratus (2026: 0.8 peratus) dan inflasi teras sebanyak satu peratus (2026: 0.9 peratus).
Bank pusat berkata, pertumbuhan lebih kukuh pada separuh tahun pertama 2025 adalah disebabkan muatan hadapan bagi penghantaran ke Amerika Syarikat (AS) dan situasi tersebut mungkin tidak kekal apabila tarif AS menjadi kenyataan.
Tambahnya, ketibaan pelancong juga menurun di tengah-tengah persaingan serantau yang semakin meningkat.
Selain itu, tarif transshipment dan persaingan import boleh menambah risiko pertumbuhan menurun dan memerlukan pemantauan rapi, manakala tekanan luaran dijangka akan menjejaskan pasaran buruh dan pendapatan, seterusnya melembapkan penggunaan swasta.
Menurut Kajian Pasaran dan Perbendaharaan CIMB, keputusan tersebut membuka jalan cara kepada trend pemotongan di bawah Gabenor BOT baharu, Vitai Ratanakorn yang berkuat kuasa pada Oktober depan.
Tambahnya, beliau menyokong ‘pelonggaran awal’ untuk menyokong ekonomi yang perlahan dan menangani cabaran hutang isi rumah yang berterusan.
“Pertumbuhan kredit kekal negatif di tengah-tengah peningkatan risiko kredit, khususnya untuk perusahaan kecil dan sederhana serta isi rumah berpendapatan rendah.
“Kami menjangkakan dua lagi pemotongan sebanyak 25 mata asas, masing-masing pada Oktober dan Disember memandangkan risiko pertumbuhan menurun dan kekurangan pemangkin pertumbuhan yang jelas dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Berdasarkan rekod lampau, kadar dasar jarang jatuh di bawah satu peratus, yang kali terakhir berlaku sewaktu pandemik Covid-19,” katanya dalam nota kajian. – UTUSAN