KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Sophia Albarakbah meluahkan rasa lega selepas mengambil tindakan membuat laporan polis berhubung dakwaan menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual di media sosial.
Sophia atau nama sebenarnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, berkata, dia dijangka hadir ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu hadapan bagi memberikan keterangan lanjut mengenai kes berkenaan.
“Selepas membuat laporan polis tempoh hari, minggu depan saya akan ke pejabat SKMM untuk memberi kenyataan. Sekarang barulah rasa lega sedikit.
“Saya ambil langkah ini bukan hanya untuk diri sendiri tetapi demi semua pihak, terutamanya rakan selebriti yang sering menjadi mangsa buli siber.
“Perkara ini tidak patut dinormalisasikan. Apatah lagi kini hangat isu adik Zara Qairina, buli boleh mengakibatkan kematian,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Mengulas lanjut, Sophia berkata kes buli siber bukanlah fenomena baharu malah ada yang membawa kepada tragedi bunuh diri.
Menurutnya, pendedahan yang dibuat di laman Instagram sedikit sebanyak membuka mata segelintir pihak yang selama ini menganggap isu tersebut sebagai perkara kecil.
“Kes bunuh diri akibat buli siber sangat tinggi di negara seperti Korea Selatan. Syukur di Malaysia tidak sampai tahap itu, namun ia tetap berlaku.
“Sebelum ini, ada yang menuduh saya mengada-ngada apabila membuat laporan polis. Sebab itu saya dedahkan bukti di Instagram supaya mereka sedar perkara ini benar-benar serius dan sangat melampau,” jelasnya.
Dalam masa sama, Sophia turut menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan artis yang tampil memberikan sokongan, terutamanya mereka yang pernah melalui pengalaman pahit seperti dirinya.
“Saya percaya ramai rakan selebriti lain juga pernah menjadi mangsa. Sebab itu mereka menghubungi saya dan menyatakan sokongan.
“Saya sangat berterima kasih atas keprihatinan mereka,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Sophia membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur selepas menerima pelbagai kecaman melampau di media sosial.
Peguamnya, Aizat Azam memaklumkan komen-komen yang diterima bukan sahaja berunsur penghinaan, malah turut mengandungi ugutan seksual secara terbuka terhadap anak guamnya itu.-UTUSAN