KOTA BHARU: Pelawak dan pelakon, Mohamad Amirullah Azmi atau Amir Raja Lawak tidak menyangka gurauannya dalam laman Facebook untuk mengundang Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah ke kedainya menjadi kenyataan selepas Perdana Menteri berbuat demikian semalam.
Lebih mengejutkan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud turut bersama-sama Perdana Menteri berkunjung ke premis perniagaannya di Medan Selera Stadium Sultan Muhammad IV.
Anwar mengadakan lawatan rasmi dua hari ke negeri ini bermula semalam dengan bertemu guru-guru pondok dan merasmikan penutup Program Madani Rakyat 2025.
“Mulanya saya tulis di Facebook sekadar mahu cuba nasib, tidak sangka betul-betul jadi. Ingatkan Perdana Menteri sahaja, rupanya dua orang besar sekali datang,” katanya kepada pemberita di sini semalam..
Amir berkata, dia sendiri tidak menyangka pemimpin nombor satu negara itu turut mengikuti isu yang berlaku ke atas dirinya .
Mengenai isu tuntutan gaji tertunggak, Amir berkata, ia bukan jumlah berapa banyak yang diperlukan tetapi keperluannya untuk sebarang keadaan berkaitan perkembangan kesihatan bapanya, Azmi Deris, 60-an yang menghidap kanser usus tahap empat.
“Saya tuntut gaji saya yang tertunggak sebanyak RM18,000, bukannya bantuan atau untuk bersuka-suka. Ramai yang cadangkan supaya saya buka tabung sumbangan tetapi saya enggan kerana saya bukan orang macam itu. Saya ada tenaga, saya lelaki dan saya mahu bekerja.
“Saya hanya minta hak saya. Saya rasa masih ada sinar dalam tuntutan itu kerana berkat orang tua. Saya mahu bantu keluarga dan bukannya untuk berfoya-foya,” katanya.
Ditanya kesediaannya untuk berdepan saman daripada Awesome TV, Amir berkata, ia bergantung kepada keadaan dan tidak mahu memberi komen berkenaan apa yang disuarakan oleh rakan pelawak, Shahrul Shiro berhubung kes tersebut melalui aplikasi Thread.
“Tumpuan saya sekarang ini adalah ayah saya yang sepatutnya menjalani pembedahan kali kedua hari ini. Saya belum tahu perkembangan setakat ini kerana belum mendapat makluman daripada keluarga tetapi setakat semalam, keadaannya masih stabil,” ujarnya. – UTUSAN










