PUTRAJAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan, anak dan isterinya diserang oleh dua orang lelaki bermotosikal ketika meninggalkan sebuah pusat beli-belah di sini.
Menurutnya, kejadian yang berlaku sekitar pukul 1.45 petang tadi, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anaknya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.
Kata beliau, semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isterinya yang pada hematnya telah merancang serangan itu lebih awal.
“Serangan itu melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.
“Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu memaklumkan, ekoran kejadian itu, anaknya telah dibawa segera ke Hospital UPM untuk rawatan.
Katanya, pihak polis juga telah berada di tempat kejadian sejurus kejadian dan beliau dan keluarga telah pun memberi kenyataan kepada pihak polis.
“Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Hospital UPM yang telah membantu keluarga saya melalui kejadian ini,” katanya.
Rafizi menjelaskan, sepanjang beliau menjadi seorang ahli politik berprofail awam, inilah kali pertama keluarganya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini.
Malah, beliau percaya serangan ini adalah satu amaran kepadanya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.
“Insya-Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” katanya. – UTUSAN










