PETALING JAYA: Anak kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, cedera selepas diserang seorang lelaki yang bertindak mencucuknya dengan jarum suntikan di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Putrajaya petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu, mangsa yang berumur 12 tahun bersama ibunya sedang memasuki kereta sebelum didatangi seorang suspek yang mengheretnya lalu melakukan serangan tersebut.
Menurut Rafizi, hasil semakan mendapati dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kenderaan isterinya sebelum serangan berlaku.
“Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal. Kedua-dua suspek berpakaian hitam sepenuhnya dan memakai topi keledar menutup muka keseluruhan.
“Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mangsa dibawa segera ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk rawatan, manakala polis tiba di lokasi sejurus selepas kejadian.
Rafizi dan ahli keluarganya turut memberi keterangan kepada pihak berkuasa.
Rafizi menegaskan serangan itu dipercayai sebagai amaran supaya beliau tidak bersuara lantang dalam isu tertentu.
“Sepanjang menjadi ahli politik berprofil awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini.
“Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.Saya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
“Terima kasih kepada semua yang telah menghantar mesej dan bertanya khabar,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden serangan terhadap keluarga Rafizi.
Beliau mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menjalankan siasatan dijalankan secara telus dan segera.
“Kita masih belum reda dari gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan. Mutakhir adalah percubaan jahat dan khianat terhadap anakanda saudara Rafizi Ramli.
“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri saudara Saifuddin Nasution bagi memastikan siasatan telus dan segera. Mendoakan kesejahteraan yang terbaik buat saudara Rafizi serta keluarga.,” katanya. – UTUSAN










