Aliran tunai Petronas jamin kelangsungan ekonomi Bumiputera

Aliran tunai Petronas jamin kelangsungan ekonomi Bumiputera

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aliran tunai yang dijana Petronas amat penting bagi menjamin kelangsungan ekonomi Bumiputera serta menyokong pelbagai program pembangunan dan pemberdayaan dalam sektor strategik negara.

Ahli Majlis Dewan Perniagaan Melayu (DPMM), Ahmad Yazid Othman berkata, keuntungan yang diraih syarikat minyak dan gas nasional itu memberi impak langsung kepada ribuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, keuntungan Petronas bukan sahaja mengalir terus kepada vendor Bumiputera melalui kontrak minyak dan gas, malah turut disalurkan kepada kerajaan dalam bentuk dividen tahunan.

“Angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau data pasaran saham tidak meletakkan makanan di atas meja.

“Aliran tunai bermaksud wang benar-benar bergerak. Apabila Petronas membayar vendor, vendor membayar pekerja dan pekerja pula berbelanja di kedai. Jika rantaian ini perlahan, keseluruhan ekosistem akan terjejas,” katanya.

Yazid menegaskan, Petronas bukan sahaja menjadi penyumbang utama kepada hasil kerajaan malah merupakan tonggak kepada ribuan vendor Bumiputera dalam sektor minyak dan gas serta industri berkaitan.

Beliau berkata, sebarang penurunan pendapatan atau dividen daripada Petronas akan memberi kesan langsung kepada peniaga dan isi rumah yang bergantung kepada ekosistem itu.

“Apabila Petronas berada dalam tekanan, vendor terpaksa mengurangkan margin keuntungan atau menerima kontrak berskala lebih kecil.

“Pembayaran pula sering ditangguhkan, menyebabkan mereka sukar membayar gaji pekerja atau pembekal tepat pada masanya. Akhirnya, kesannya turut dirasai keluarga biasa.

“Ramai yang tidak sedar betapa besarnya pengaruh Petronas. Bayangkan jika 5,000 orang diberhentikan kerja, berapa banyak keluarga yang terjejas, berapa banyak pusat tuisyen kehilangan pelajar, dan berapa banyak kedai makan yang kekurangan pelanggan,” ujarnya.

Yazid berkata, setiap tahun Petronas menyalurkan puluhan bilion ringgit kepada kerajaan melalui dividen yang digunakan untuk membayar gaji penjawat awam, menampung subsidi dan melaksanakan projek pembangunan.

“Tahun lalu sahaja, Petronas membayar sebanyak RM32 bilion kepada kerajaan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada perbelanjaan negara.

“Kalau dividen Petronas turun kepada RM25 bilion, dari mana kerajaan mahu mencari baki RM10 bilion?

“Tanpa aliran tunai itu, gaji penjawat awam boleh terganggu, projek pembangunan tidak berjalan lancar dan keyakinan Bumiputera terhadap ekonomi juga boleh terjejas,” katanya.

Sehubungan itu, Yazid mengingatkan kerajaan supaya mengelakkan situasi yang memerlukan langkah penjimatan seperti ketika pandemik Covid-19 yang memaksa vendor menanggung potongan harga demi memastikan projek dapat diteruskan.

“Kerajaan perlu membuktikan bahawa ia benar-benar mampu menyokong perniagaan Bumiputera dengan berkesan.

“Tunjukkan lebih banyak kejayaan PKS, pastikan pembayaran dibuat tepat pada masanya, dan kukuhkan lagi ekosistem sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN