PETALING JAYA: Akses duti sifar kepada lebih 1,300 produk dari Amerika Syarikat (AS) boleh memberi kesan besar kepada industri tempatan sekiranya tidak dilaksanakan secara berhati-hati.
Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, langkah membuka pasaran domestik kepada produk asing tanpa duti perlu mengambil kira kepentingan jangka panjang negara.
Menurutnya, produk dari AS lazimnya memiliki kelebihan dari segi skala pengeluaran, kecekapan dan sokongan teknologi, sekali gus berpotensi mencetuskan persaingan tidak seimbang terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
“PKS khususnya dalam sektor makanan, pertanian dan produk industri ringan mungkin akan terkesan sekiranya perlindungan sedia ada dikurangkan terlalu awal.
“Kami khuatir bahawa langkah ini boleh menghakis daya saing PKS tempatan yang masih belum cukup bersedia untuk bersaing secara langsung dengan syarikat besar dari AS.
“Sebagai contoh, produk pertanian atau makanan diproses dari AS yang masuk ke Malaysia tanpa duti boleh menjejaskan pemain tempatan yang masih bergantung kepada kos bahan mentah dan tenaga kerja yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malaysia memansuhkan 1,347 garis tarif produk perindustrian sebagai sebahagian daripada komitmen liberalisasi perdagangannya bersama AS, susulan penurunan tarif AS kepada 19 peratus, berbanding 25 peratus yang diumumkan sebelum ini.
Langkah itu menjadikan jumlah keseluruhan produk Malaysia yang dikenakan duti sifar kepada AS kini mencecah 6,911 daripada 11,260 garis tarif atau bersamaan 61 peratus.
Daripada jumlah tersebut, 1,347 garis tarif melibatkan produk perindustrian, manakala 191 garis tarif melibatkan produk pertanian.
Mengulas lanjut, William berkata, Malaysia perlu memastikan perjanjian seperti ini disertai dengan mekanisme perlindungan yang sesuai untuk memberi ruang penyesuaian kepada industri domestik.
Jelasnya, langkah sokongan seperti program pembangunan kapasiti, tempoh peralihan dan pelan penyesuaian industri wajar diwujudkan bagi membantu PKS kekal berdaya saing dalam landskap baharu perdagangan global.
“Kami tidak menolak liberalisasi secara menyeluruh, tetapi ia mestilah bersifat strategik dan bersandarkan prinsip timbal balik yang adil, khususnya dalam konteks perdagangan dengan negara maju seperti AS,” katanya. – UTUSAN










