Akmal retakkan hubungan parti dalam kerajaan

Akmal retakkan hubungan parti dalam kerajaan

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan lantang Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Salleh mengetuai demonstrasi di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin, berhubung insiden Jalur Gemilang digantung terbalik, mencetuskan pergeseran baharu dalam Kerajaan Perpaduan.

Polis mengesahkan siasatan dijalankan dan menggesa semua pihak bertenang selepas pemilik premis itu memohon maaf atas kesilapan dilakukannya.

Susulan tindakan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) seluruh negara membuat laporan polis terhadap Akmal di bawah Seksyen 503, 504 dan 505 Kanun Keseksaan.

Beliau mendakwa, tindakan tersebut berbentuk ugutan dan buli terhadap peniaga, selain mencabar kedaulatan undang-undang serta mengganggu ketenteraman awam sehingga menyebabkan perniagaan sekitar terpaksa ditutup lebih awal.

“Tindakan ini melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum. Jalur Gemilang wajib dihormati, namun mengugut dan membuli bukan cara menyelesaikan isu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Anthony Loke menegaskan, Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara yang wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan namun mengugut dan membuli bukanlah cara menyelesaikan sesuatu isu.

“Saya sekali lagi menegaskan bahawa Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan.

“Akan tetapi, perbuatan yang mengugut dan membuli, serta menimbulkan ketegangan bukanlah cara untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Kelmarin Himpunan Solidariti Jalur Gemilang disertai lebih 500 individu diketuai Muhamad Akmal yang pada awalnya berlangsung secara aman tiba-tiba bertukar menjadi sedikit kecoh susulan provokasi yang dilakukan oleh sekumpulan individu di Bertam apabila individu serta wakil dari Lawyers For Liberty itu dilihat memegang sepanduk

‘Jangan Bersikap Zionist’ dan ‘Kesilapan Bukan Jenayah’ di hadapan kedai perkakasan yang terlibat dengan kontroversi pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik sebelum ini.

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang menggesa kepimpinan DAP dan DAPSY Kebangsaan memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Akmal Saleh berikutan tindakan Akmal yang didakwa mengugut pendakwa raya serta mengadakan perhimpunan di hadapan sebuah premis perniagaan dalam isu bendera tergantung terbalik merupakan pencabulan serius terhadap kedaulatan undang-undang.

Kumpulan itu berkata, perbuatan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan pendirian Kerajaan Perpaduan yang meraikan kepelbagaian kaum, malah didakwa sengaja meniup sentimen perkauman sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menjaga kestabilan negara.

“Apabila Pemuda UMNO Terengganu dan Pas menggunakan versi bendera yang salah, beliau hanya memandang ringan perkara tersebut. Sebaliknya, dalam isu bendera di Pulau Pinang, tindakannya selari dengan naratif perkauman Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sebarang pelanggaran Akta Bendera perlu disiasat oleh pihak berkuasa, bukannya dijadikan alasan untuk ahli politik bertindak sebagai ‘polis moral’ atau bertindak secara samseng.

Katanya Akmal sering melaungkan patriotisme namun memperalatkan isu itu sebagai modal politik murahan demi kepentingan peribadi sehingga mengancam ketenteraman masyarakat dan kebebasan berniaga rakyat.

“Akmal sering melaungkan slogan patriotisme, namun sebenarnya adalah tengah memperalatkan isu tersebut sebagai modal politik murahan untuk kepentingan politik sendiri. Tindakan samseng Akmal Saleh mengancam ketenteraman masyarakat dan kebebasan berniaga rakyat.

“Apabila ahli politik dibenarkan bertindak di luar kerangka undang-undang sambil terus menghasut kebencian kaum, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang menakutkan rakyatnya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Akmal mengakui tidak gentar ugutan atau desakan termasuk daripada Pemuda DAP Pulau Pinang yang mahu memutuskan hubungan politik dengannya.

Beliau turut mencabar agar tindakan tersebut diambil barisan kepimpinan DAP.

Memutuskan hubungan politik dengan Pemuda UMNO bererti memutuskan hubungan dengan UMNO.

“Bring it own (silakan). Memutuskan hubungan politik dengan Pemuda UMNO, bermakna putus hubungan politik dengan UMNO. Jadi sila laksanakan. Kita tunggu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN