Ahmad Zahid nasihat Tajuddin, Khairul Azwan berdamai - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid nasihat Tajuddin, Khairul Azwan berdamai

AHMAD Zahid Hamidi (dua dari kanan) beramah mesra dengan Tajuddin Abdul Rahman (tiga dari kanan) dan Khairul Azwan Harun (kanan) pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2025 Projek-projek Peserta Felcra Berhad di Seberang Perak, Pasir Salak hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun agar berdamai demi masa depan parti.

Beliau berkata, kesepakatan antara dua tokoh politik itu akan membantu UMNO untuk merampas semula kerusi Parlimen Pasir Salak dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Yang sudah itu sudahlah. Kita pergi ke jalan yang baharu. Tengok muka saya ini. Saya pun anak Perak juga, anak Seberang Perak. Tolonglah saya.

“Insyallah kita akan capai kemenangan jika kita mewujudkan kesepakatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2025 Projek-projek Peserta Felcra Berhad di Pekarangan Pusat Benih Padi, Felcra Plantation Sdn. Bhd., Felcra Berhad Seberang Perak, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad (Felcra), Datuk Idris Lasim.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berseloroh apabila tepukan yang diterimanya kurang mendapat sambutan ketika mengumumkan peruntukkan untuk Parlimen Pasir Salak yang dimohon Khairul Azwan.

“Kurang tepukan mungkin yang minta Azwan Bro (Khairul Azwan). Kalau Tajuddin mungkin lebih lagilah.

“Tapi tidak mengapa saya akan pastikan dua-dua ini berbaik untuk menentukan kemenangan semula di Parlimen dan kedua-dua kawasan DUN (Kampung Gajah dan Sungai Manik,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid merangkap Menteri KKDW mengumumkan, Pusat GiatMara Pasir Salak yang sebelum ini menyewa bangunan lama akan berpindah ke lokasi baharu di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak.

Menurut beliau, perpindahan ke lokasi baharu itu akan menawarkan kursus yang relevan termasuk baik pulih jentera dan mesin pertanian bagi memenuhi permintaan komuniti setempat.

“Pusat perniagaan komersil juga akan dibina di Changkat Lada melalui peruntukan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) selain kemudahan padang bola berpagar dengan rumput sintetik dengan peruntukan oleh Felcra.

“Selain itu, projek rumah pam di Pulau Besar melalui Rancangan Tebatan Banjir Kampung Gajah Fasa 2 yang kini dalam peringkat reka bentuk akan dimasukkan segera dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

Menerusi laporan media pada 2023, Tajuddin menuntut permohonan maaf daripada Khairul Azwan berhubung dakwaan sabotaj pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menegaskan, kenyataan itu sebagai tuduhan melampau selain bertujuan untuk ‘menghapuskan’ beliau daripada menjadi ahli UMNO Bahagian Pasir Salak.

Khairul Azwan dalam kenyataannya sebelum ini mahu MKT UMNO untuk tidak menerima rayuan penggantungan keahlian Tajuddin kerana mendakwa bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu masih berterusan memburukkan kepimpinan parti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN