PUTRAJAYA: Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pagi ini, mencuri perhatian apabila baginda berkenan memandu sendiri kereta nasional Proton Satria Neo R3 bernombor pendaftaran istimewa WWW 1.
Lebih istimewa apabila Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, turut berangkat bersama, duduk di sisi baginda di dalam kenderaan berwarna biru itu.
Keberangkatan Sultan Ibrahim yang memandu sendiri kenderaan itu menarik tumpuan orang ramai dengan disambut sorakan rakyat yang menyaksikan di sepanjang laluan masuk ke lokasi sambutan.
Turut mengiringi baginda berdua ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang memandu sebuah lagi kenderaan Proton Satria Neo R3 warna putih.
Tiupan nafiri turut bergema di Dataran Putrajaya sebelum lagu Hormat Diraja dan Negaraku dimainkan oleh pancaragam Kawalan Kehormatan Utama.
Sejurus keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter EC 725, AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi lagu kebangsaan Negaraku.
Sultan Ibrahim turut berkenan memeriksa perbarisan serta menerima Tabik Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan kekuatan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Kem Perdana Sungai Besi.
Pelbagai persembahan serta perarakan menghiasi sambutan tahun ini membabitkan 14,010 peserta, 81 kontinjen, 21 kumpulan pancaragam, 437 aset darat dan udara serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan tujuh kereta berhias.
Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta. – UTUSAN










