PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim diberikan sambutan negara di Kremlin, Moscow pada hari ini bersempena lawatan negara Seri Paduka ke Russia.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 3 petang disambut mesra oleh Presiden Russia, Vladimir Putin di Dewan St George.
Sultan Ibrahim yang berangkat tiba di Moscow, semalam melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Russia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada 1967.
Seusai selesai Istiadat Sambutan Negara, Sultan Ibrahim berkenan mengadakan pertemuan rasmi bersama Presiden Putin.
Mengiringi bersama Sultan Ibrahim ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengiring
Selepas selesai pertemuan, Seri Paduka Baginda kemudian berkenan berangkat ke majlis persembahan cenderahati dengan diiringi Presiden Putin.
Presiden Putin turut menghoskan Seri Paduka Baginda dalam satu majlis santapan negara di Chamber of The Facets.-UTUSAN