Afnan Hamimi kekal Ketua Pemuda Pas, pencabar tarik diri

Afnan Hamimi kekal Ketua Pemuda Pas, pencabar tarik diri

BUDI95
AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat kekal milik penyandangnya, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden apabila satu-satu pencabarnya, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar mengumumkan menarik diri daripada bertanding.

Keputusan Mohamed Sukri itu sekali gus mengesahkan Afnan Hamimi mengekalkan jawatannya bagi sesi kepimpinan 2025-2027 pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan PAS ke-70 yang dijadual berlangsung di Kedah, 15 hingga 16 September depan.

Mohamed Sukri dilaporkan turut menolak pencalonan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pemuda Pusat meskipun menerima pencalonan daripada beberapa kawasan sebagai tanda memberi laluan kepada pelapis baharu.

“Saya berpegang bahawa kepimpinan adalah amanah, bukan keistimewaan. Justeru, saya menolak pencalonan ini dengan penuh rendah hati agar saf kepimpinan baharu dapat tampil memberi sumbangan tenaga dan kebijaksanaan,” katanya.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Malaysia selama dua tahun berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama rakan seperjuangan dan menilai keperluan semasa parti.

Katanya, beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap gerak kerja di Selangor khususnya dalam usaha merampas kembali negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang.

“Pelbagai perubahan dan langkah strategik telah dilaksanakan ketika saya diamanahkan di peringkat pusat. Kini masanya saya memberi fokus kepada Selangor.

“Saya juga melihat ramai pelapis baharu berpotensi besar untuk diketengahkan dalam kepimpinan Pemuda,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Pas, Wan Rohimi Wan Daud, mengumumkan Mohamed Sukri antara calon yang layak bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda Pusat bersama Afnan Hamimi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×