KOTA BHARU: Polis mengesahkan terdapat kesan luka akibat hirisan pada mayat seorang lelaki yang ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pengesahan itu hasil bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, ke atas mayat mangsa.
Katanya, hasil bedah siasat itu mengesahkan kematian lelaki tersebut berpunca daripada kesan luka hiris pada lehernya.
“Mayat mangsa yang belum dapat disahkan kewarganegaraannya itu dijumpai terapung di Sungai Kelantan dengan berpakaian baju-T berkolar berwarna ungu, berseluar pendek coklat dan bertali pinggang dengan keadaan mayat sudah membengkak.
“Ketika ini proses pengecaman sedang dilakukan menerusi laporan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA) namun keputusan itu belum diperoleh,” katanya hari ini.
Mohd. Rosdi berkata, sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN