80.94 hektar Pulau Silikon telah ditambak setakat ini

80.94 hektar Pulau Silikon telah ditambak setakat ini

FARIZAN Darus (kiri) menunjukkan sesuatu kepada Ramli Ngah Talib (dua dari kiri) ketika sesi lawatan ke tapak projek Pulau Silikon di Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerja-kerja penambakan Pulau Silikon kini telah melepasi tanda aras 80.94 hektar, sekali gus menandakan kemajuan yang stabil bagi projek penambakan tanah terbesar di Pulau Pinang itu setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, pencapaian tersebut juga merupakan petanda positif bahawa projek berkenaan sedang berjalan mengikut jadual.

“Melepasi (angka) 80.94 hektar tanah tambakan bukan sekadar kemajuan fizikal. Ia adalah isyarat keyakinan bahawa projek Pulau Silikon ini sedang bergerak mengikut perancangan.

“Projek ini direka bentuk untuk menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang di Pulau Pinang dengan menggabungkan infrastruktur bertaraf dunia, amalan pembangunan mampan serta kemudahan berorientasikan komuniti,” katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah melawat tapak projek berkenaan di sini, hari ini.

Mengikut perancangan, projek Pulau Silikon yang meliputi kawasan berkeluasan 930.78 hektar itu akan dibangunkan dalam dua fasa iaitu 509.90 hektar di bawah fasa pertama dan baki 420.87 hektar lagi di bawah fasa kedua.

Mengulas lanjut, Farizan berkata, pembangunan Pulau Silikon juga akan membuka peluang baharu untuk pelaburan, inovasi dan pekerjaan di samping memastikan komuniti setempat mendapat manfaat daripada kemudahan yang lebih baik.

“Setiap elemen daripada jejambat marin sehingga ke kemudahan komuniti telah diintegrasikan untuk memenuhi keperluan ekonomi dan sosial.

“Pembinaan Pulau Silikon juga menyokong peranan Pulau Pinang sebagai hab serantau sementara memastikan rakyat sentiasa menjadi fokus pembangunan,” katanya yang memberitahu, pulau buatan itu turut dirancang dengan daya tahan dan kelestarian sebagai terasnya.

Dalam pada itu, Farizan berkata, sebanyak RM11.7 juta bayaran ex-gratia telah disalurkan kepada 791 nelayan yang layak di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) setakat ini, sekali gus mengukuhkan komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan nelayan yang terlibat dengan program tersebut.

“Selain bantuan wang tunai, kerajaan negeri juga telah melaksanakan skim bantuan bot dan enjin. Sehingga kini, 118 daripada 295 nelayan aktif yang memiliki bot telah menerima bot dan enjin baharu dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan hampir RM10 juta,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN