6,000 sertai himpunan solidariti Zara Qairina di Teluk Intan - Utusan Malaysia

6,000 sertai himpunan solidariti Zara Qairina di Teluk Intan

PESERTA himpunan solidariti buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Dataran Menara Condong di Teluk Intan semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Lebih 6,000 orang menyertai himpunan solidariti buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Dataran Menara Condong di sini semalam.

Mereka mengadakan perhimpunan secara aman dengan membawa plakad dan sepanduk tertulis ‘Justice for Zara’, menuntut siasatan telus terhadap Zara Qairina, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Papar, Sabah yang ditemukan dalam keadaan parah di bangunan asrama selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bulan lalu.

Perhimpunan dihadiri pelbagai kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berlangsung secara aman dengan laungan ‘Justice for Zara’ yang bergema di Dataran Menara Condong bermula sekitar pukul 8 malam dan berakhir kira-kira 10.30 malam.

Wakil NGO, Razali Hamzah ,47, berkata, himpunan solidaliti itu untuk menuntut keadilan terhadap kematian pelajar tersebut dan mahu siasatan telus dilakukan pihak berkuasa.

“Dalam himpunan ini, kami mahu menyampaikan mesej supaya keadilan dapat ditegakkan terhadap kematian Zara Qairina . Jika ada orang yang bersalah terhadap kes ini, mereka perlu diheret ke muka pengadilan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina yang merupakan pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Papar, Sabah ditemukan dalam keadaan parah di bangunan asrama selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga.

Remaja itu kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

Kejadian itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN