546 individu ditahan dalam Op Tapis Khas - Utusan Malaysia

546 individu ditahan dalam Op Tapis Khas

SEBAHAGIAN individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang diadakan serentak di seluruh negeri selama tiga hari sejak Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 546 individu termasuk 22 warga asing ditahan menerusi Op Tapis Khas selepas ‘sarang’ penagihan dadah di seluruh negeri digempur polis selama tiga hari sejak Rabu lalu

Operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak dan Daerah serta lain-lain bahagian polis dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam operasi sepanjang tiga hari itu, lokasi penagihan dadah yang diserbu termasuk di kawasan Felda, Felcra, ladang swasta, flat, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan jeti nelayan.

Katanya, dalam tempoh itu, seramai 536 lelaki dan 10 wanita berusia antara 19 hingga 65 tahun ditahan selain 22 orang warga asing dari Indonesia, Thailand, Myanmar, Ukraine dan Kemboja.

“Daripada keseluruhan tangkapan itu, seramai 72 orang ditahan bagi kesalahan pengedaran dadah, 153 orang bagi kesalahan memiliki dadah dan 317 penagih dadah.

“Dalam operasi semalam, empat individu ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 manakala lapan individu dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki.

“Selain itu, seramai 16 penagih dadah tegar dikenal pasti dan tindakan diambil mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, serbuan melibatkan 270 pegawai dan anggota yang dijalankan serentak di seluruh negeri juga membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM253,471.30.

“Kita berjaya merampas lebih 16 kilogram dadah jenis heroin, syabu, ganja, ketamin, pil erimin 5, ekstasi, daun ketum dan 53.60 liter cecair ketum.

“Selain itu, polis turut menyita lima motosikal dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM30,876,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN