IPOH: Kejadian seorang individu tidak dikenali yang meluru ke arah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di pentas utama semasa acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak 2025 di sini hari ini tidak menjejaskan kemeriahan sambutan.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ke acara tersebut yang diadakan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab berdekatan Stesen Keretapi Ipoh dan Dewan Bandaran Ipoh.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berserta barisan Exco, pemimpin dan pentadbir negeri.
Dianggarkan 50,000 pengunjung hadir seawal pukul 7 pagi, yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong asing untuk menyaksikan perbarisan dan perarakan.
Acara perarakan disertai oleh 111 kontinjen dengan 5,891 bilangan peserta termasuk persembahan Kumpulan Kawad Senyap Tentera Laut Diraja Malaysia yang mencuri tumpuan para hadirin.
Antara kontinjen pembawa bendera dan perarakan ialah agensi dan jabatan kerajaan, sekolah dan institut pendidikan tinggi, pasukan pancaragam, pasukan keselamatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selepas perarakan, Sultan Nazrin Tuanku Zara berkenan untuk menyertai Majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bersama hadirin.
Dalam insiden pada pukul 8.20 pagi semasa perbarisan, seorang individu tidak dikenali meluru ke arah Sultan Nazrin di pentas utama.
Kejadian berlaku sewaktu nyanyian lagu negeri Perak sedang dimainkan dan wanita berkenaan berjaya ditahan oleh anggota pasukan keselamatan.
Sultan Nazrin dilihat tetap tenang selepas individu tersebut ditahan dan baginda meneruskan tabik hormat kepada kontinjen yang melintasi pentas utama.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin yang mengesahkan perkara berkata, suspek telah masuk melalui bahagian tepi pentas dan mendekati Sultan Nazrin sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang sedang bertugas.
“Suspek merupakan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun telah ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
“Hasil semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah. pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar,” katanya.
Beliau juga berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek adalah negatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah. – UTUSAN