40 tahun hubungkan negara - Utusan Malaysia

40 tahun hubungkan negara

TEROWONG Menora di Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Terowong Menora yang dibuka sejak 1986 merupakan laluan mencabar di Lebuhraya PLUS kerana bentuk muka buminya berbukit dan berselekoh.

Pelbagai langkah keselamatan seperti pemasangan kamera, pelebaran lorong dan penyelenggaraan cerun telah dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan. Walaupun mencabar, laluan ini kekal penting sebagai penghubung utama antara utara dan selatan negara.

MOHD. Yusuf Abdul Aziz (kanan) memantau pergerakan kenderaan yang dapat dilihat dari atas Terowong Menora di arah utara Lebuhraya PLUS di Perak. – MINGGUAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH: Laluan Terowong Menora yang terletak di negeri ini sepanjang 11.7 kilometer (km) disifatkan majoriti pemandu sebagai laluan paling sukar di Lebuhraya Utara-Selatan (Lebuhraya PLUS).

Bentuk muka buminya yang berbukit, menurun serta berselekoh merupakan cabaran pemanduan di lokasi berkenaan.

Dibuka pada 1986 dan dirasmikan oleh Almarhum Sultan Azlan Shah pada 1987, mungkin ada yang tidak mengetahui terowong tersebut mempunyai dua nama berbeza iaitu Terowong Menora, laluan ke arah utara sepanjang 861 meter (m) manakala laluan ke arah selatan pula dikenali Terowong Meru sepanjang 832m.

Namun, ia lebih dikenali de­ngan nama Terowong Menora bersempena nama sebuah kampung berdekatan yang terletak dalam daerah Kuala Kangsar.

Memastikan laluan selamat dan selesa untuk pengguna menjadi cabaran buat PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kerja-kerja penyelenggaraan kerana bentuk geografinya yang berbukit-bukau.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd. Yusuf Abdul Aziz berkata, semasa mula dibuka, laluan dari Ipoh Selatan ke Kuala Kangsar (merangkumi laluan Terowong Menora) merupakan laluan mencabar kerana kerap berlaku kemalangan.

Ini kerana wujud plaza tol di Jelapang yang merupakan ‘end barrier’ (penghujung) Lebuhraya PLUS ketika itu.

Menurutnya, pihaknya mendapati, kemalangan yang sering berlaku adalah semasa kenderaan menuruni laluan berbukit dan hilang kawalan sehingga merempuh Plaza Tol Jelapang, terutamanya kenderaan berat.

Katanya, PLUS kemudiannya merobohkaan Plaza Tol Jelapang dan menggantikan dengan Plaza Tol Ipoh Utara dan Plaza Tol Ipoh Selatan di lokasi dan jarak yang lebih selamat.

“Bermula dari situ, end barrier Jelapang diubah menjadi trafik terus (through traffic). Plaza Tol Jelapang lama dirobohkan dan dipindahkan ke tepi lebuh raya, kalau dari utara, pengguna akan rapat ke tepi dan keluar ke Meru.

“Dari Kuala Lumpur pula, pengguna boleh keluar ke Ipoh. Apabila tiada lagi end barrier untuk trafik berhenti, trafik boleh bergerak terus sahaja, menjadikan perjalanan lebih lancar dan selesa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

PLUS telah menggiatkan usaha menambah baik laluan tersebut untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna antaranya lorong mendaki di kedua-dua arah diperbesarkan.

LALUAN MENDAKI, MENURUN DAN BERSELEKOH

LALUAN mendaki, menurun dan berselekoh antara cabaran buat pengguna yang melalui Terowong Menora dekat Ipoh, Perak. – MINGGUAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

Laluan berselekoh di Terowong Menora antara cabaran buat pengguna, namun Mohd. Yusuf melihat keadaan itu lebih kepada bagaimana pengguna mengendalikan kenderaan semasa mendaki dan menurun.

Menurutnya, secara umum trafik di lebuh raya kendalian PLUS mencatat purata 1.8 juta kenderaan sehari dengan lapan peratus daripadanya adalah kenderaan berat.

“Kalau hendak dikatakan ke­sukaran untuk memandu di sini, saya tidak rasa itu puncanya, saya lebih melihat kepada bagaimana mengendalikan kenderaan semasa menaiki dan menurun.

“Ini kerana kita telah sediakan permukaan jalan yang baik, pencahayaan pun mencukupi, kita sudah pasang lampu, kalau nak terjadinya kemalangan ia tetap berlaku. Kebanyakan kemalangan berpunca daripada faktor manusia, sebagai contoh memandu dengan laju, hilang kawalan dan sebagainya.

“Kalau sehari purata sehingga 3,000 lori menggunakan laluan ini (Ipoh dan Kuala Kangsar), jadi itulah pentingnya bagaimana kita mematuhi peraturan dan memastikan keadaan kenderaan yang dipandu itu selamat dan sentiasa diselenggara.

“Daripada segi kejuruteraan, kita sudah ambil semua pendekatan termasuk memasang ‘vibra line’ untuk memastikan pengguna lebih fokus kepada pemanduan. Selain itu, kita bekerjasama de­ngan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memasang ka­mera AwAS (Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik), di mana inisiatif berkenaan antara yang efektif dalam menangani cara pemanduan di sini,” katanya.

Mohd. Yusuf berkata, papan tanda peringatan seperti patuh had laju, jarak selamat kende­raan, serta penggunaan brek telah dipasang bagi meningkatkan pemanduan yang lebih selamat dan berhemah di lebuh raya.

Katanya, aspek penyelenggaraan di laluan berkenaan paling mencabar untuk diuruskan.

Menurutnya, cerun-cerun di laluan berkenaan sentiasa diselenggara dengan baik daripada segi kestabilan dengan menjalankan semua pemeriksaan secara berkala.

“Kalau pada musim hujan, cerun ini sering dijadikan tajuk utama. Disebabkan keadaan geografi di kawasan ini lebih berbukit, cerun di lokasi ini lebih curam berbanding di kawasan lain dan akan membimbangkan ketika hujan. Namun, kami sentiasa proaktif dalam menyelenggara dan me­nguruskan semua saliran di cerun bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik.

“Kami mempunyai pasukan yang berdedikasi, beroperasi 24 jam sehari. Sejak dibuka pada 1986, kami menyelenggarakan terowong ini dengan baik seiring dengan teknologi terkini. Sekiranya berlaku kecemasan atau terputus bekalan elektrik, pihak kami telah menyediakan bekalan tenaga elektrik alternatif iaitu menggunakan set generator.

“Jika berlaku hal kecemasan di dalam terowong, terdapat laluan khas untuk kerja-kerja menyelamat dan penyelenggaraan te­rowong,” katanya.

KAMERA AwAS BERKESAN KURANGKAN KEMALANGAN

PARA pegawai PLUS memantau pergerakan trafik dari Pusat Kawalan Terowong Menora dekat Ipoh, Perak.

Pemasangan kamera AwAS di kawasan Terowong Menora berjaya mengurangkan kadar kemalangan dan Mohd. Yusof berkata, kawasan itu bukan lagi kawasan kerap berlakunya nahas.

Menurutnya, perkara itu perlu diakui dengan pematuhan had laju oleh pengguna lebuh raya di kawasan tersebut.

“Kamera AwAS ada dua dipasang di kawasan sini. Kedua-duanya dipasang di kawasan menurun, sebagai peringatan untuk pemandu supaya mematuhi had laju di kawasan berkenaan. Ini adalah kerana faktor manusia adalah di luar kawalan kami, dan kebanyakan kenderaan yang hilang kawalan disebabkan faktor kelajuan.

‘Selain itu, pihak kami mendapati terdapat kenderaan berat yang membawa muatan melebihi had lebih berisiko tinggi untuk hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan.

“Kami mendapati Terowong Menora bukan lagi kawasan kerap kemalangan. Pemandu kini lebih berhati-hati ketika memandu kawasan tersebut kerana terdapatnya kamera AwAS,” katanya.

JPJ merekodkan sebanyak 35,824 saman melalui Awas di Terowong Menora dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu direkodkan di dua lokasi kamera berkenaan dipasang di kedua-dua arah berhampiran Terowong Menora.

Daripada jumlah itu, sebanyak 22,220 saman direkodkan di Kilometer 258.25 arah utara dan 13,604 saman pula dicatatkan di Kilometer 262.5 arah selatan.

Mohd. Yusuf berkata, kemala­ngan boleh berlaku di mana-mana tetapi apabila terjadi di Terowong Menora terutama melibatkan kenderaan berat, ia akan melibatkan ramai mangsa.

“Saya juga mengambil peluang ini menasihatkan agar pengguna-pengguna Lebuhraya PLUS sentiasa mematuhi had laju, peka terhadap keadaan sekeliling, sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta merancang perjalanan mereka,” katanya.

Menurut Mohd. Yusuf, Terowong Menora yang kini menjangkau usia 40 tahun telah berjasa besar dalam rangkaian perhubu­ngan negara.

Laluan ikonik ini akan terus berbakti kepada rakyat, hari ini dan untuk generasi akan datang kerana lebuh raya adalah penghubung yang menyatukan kita semua,” katanya.

SELEKOH ‘TIGA BERADIK’

SUASANA dalam Terowong Menora di Ipoh, Perak yang begitu sinonim dengan pengguna Lebuhraya PLUS.

Setiap hari melalui Terowong Menora dari Manong untuk bekerja di Ipoh, Hafizul Abdul Hamid, 38, mengakui laluan tersebut sa­ngat mencabar apatah lagi jika menunggang motosikal.

Menurutnya, antara cabaran­nya ialah kenderaan berat di lorong kiri di laluan mendaki yang memotong secara tiba-tiba

Katanya, kenderaan berat yang berada di lorong paling kiri akan masuk ke lorong tengah untuk memotong menyebabkan kenderaan di lorong sama terpaksa mengelak dan masuk ke lorong paling kanan.

“Jika ketika itu pemandu yang berada di belakang agak laju dan lori tiba-tiba masuk ke lorong tengah untuk memotong, kita kena elak dan masuk ke lorong paling kanan.

“Pada masa ini kalau kita tak cukup laju dan kereta dari belakang pula laju, ini memberikan risiko terutama bagi penunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya, laluan menurun selepas terowong lebih mencabar kerana hanya mempunyai dua lorong, selain di penghujungnya terdapat selekoh tajam yang dikenali selekoh ‘tiga beradik’.

“Keadaan berselekoh menyebabkan sering berlaku kemalangan dan jika melibatkan kenderaan berat, biasanya akan melintang jalan dan mengakibat kesesakan trafik.

“Bagi sesetengah pengguna, mereka akan menyemak maklumat trafik di laluan tersebut melalui pelbagai aplikasi sebelum masuk lebuh raya.

“Jika mendapati berlaku ke­sesakan yang teruk, mereka akan menggunakan jalan lama iaitu dari Chemor, Sungai Siput hingga Kuala Kangsar dan sebaliknya.

“Kalau ikut jalan lama mungkin mengambil masa satu jam, itu lebih baik daripada terperangkap lama dalam kesesakan trafik,” katanya.

Sementara itu, seorang pemandu lori yang berpengalaman lebih 30 tahun, Ahmad Ridzuan Muhammad Ali, 58, berkata, Terowong Menora menuntut kemahiran pemanduan yang tinggi terutama bagi pemandu treler sepertinya.

Ahmad Ridzuan berkata, cara pemanduan setiap treler di laluan itu berbeza bergantung kepada muatan yang dibawa.

Katanya, keadaan paling mencabar jika melalui laluan itu adalah jika hujan kerana permukaan jalan raya yang licin.

“Saya melalui laluan ini dua atau tiga kali seminggu. Walaupun sudah biasa, saya tetap menganggap sangat mencabar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×