GUA MUSANG: Seorang bapa daripada masyarakat Orang Asli bersyukur kerana penantian 11 tahun untuk menukar MyKad baharu anak perempuannya iaitu orang kurang upaya (OKU) terlaksana selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hadir ke rumahnya di Kampung Bihai Lama, Pos Bihai di sini, kelmarin.
Mulian Alok, 54, berkata, sebelum ini, dia dan isteri sukar membawa anaknya, Mastaliza, 29, yang sakit terlantar ke Pejabat JPN di bandar Gua Musang bagi membuat penggantian dokumen tersebut.
Katanya, dia lega apabila kakitangan JPN dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim hadir ke Kampung Bihai Lama yang terletak kira-kira 90 kilometer dari bandar.
“Kami sukar membawa Mastaliza selepas dia mencecah usia 18 tahun ke bandar kerana keadaan fizikalnya dan laluan jalan tanah yang rosak.
“Saya dan isteri sudah menanti selama 11 tahun untuk menukar MyKad Mastaliza dan akhirnya hasrat itu tercapai,” katanya selepas menerima kunjungan rombongan JPN Kelantan bersama Mohd. Syahbuddin di rumahnya di Kampung Bihai Lama.
Mulian berkata, anaknya diserang penyakit sawan ketika berusia setahun selepas mengalami demam panas.
Katanya, Mastaliza yang dilahirkan normal mengalami kekejangan pada anggota badan sehingga tidak boleh berjalan dan bercakap.
Sementara itu, Penolong Pengarah JPN Kelantan, Hezri Othman berkata, Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) membantu ramai golongan yang memerlukannya seperti warga emas, OKU, pesakit terlantar dan pesakit mental yang tiada keupayaan ke pejabat JPN bagi mendapatkan perkhidmatan.
Katanya, bagi kes Mastaliza, pemohon sudah membuat MyKad pada usia 12 tahun dan perlu membuat gantian kad pengenalan.
“Mengikut Peraturan 18, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) setiap orang yang mencapai umur 18 tahun dan memiliki kad pengenalan bertaraf Warganegara atau Pemastautin Tetap perlu membuat gantian kad pengenalan selewat-lewatnya apabila mencapai umur 25 tahun,” katanya. – UTUSAN










