PETALING JAYA: Seramai 10 belia daripada golongan kurang berkemampuan telah terpilih menerima biasiswa kulinari di bawah Program Chef Muda Mahsuri yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.
Sejak dilancarkan pada Julai 2023, program berkenaan berjaya melahirkan lima graduan pada pusingan pertama dan 10 peserta pada pusingan kedua tahun lalu.
Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn. Bhd., Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, pelancaran pusingan ketiga program yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu itu merupakan usaha berterusan pihaknya dalam melahirkan bakat baharu sekali gus memperkukuh identiti kulinari Malaysia.
Katanya, program yang dianjurkan dengan kerjasama Food Institute of Malaysia (FIM) serta Lembaga Zakat Selangor itu bertujuan memperkasakan anak muda melalui pendidikan kulinari dan peluang kerjaya.
“Alhamduillah, sejak permulaan kami telah menaja lima pelajar pada tahun pertama diikuti sepuluh pelajar pada 2024 lalu. Hari ini kita melangkah ke hadapan dengan menaja 10 lagi untuk tahun ketiga.
“Setiap penerima biasiswa tahun ini akan memulakan latihan pada awal 2026 di FIM merangkumi pengajian kulinari intensif di bawah bimbingan chef berpengalaman,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Chef Muda Mahsuri di Pusat Dagangan Dunia kelmarin.
Mengulas lanjut, Mohd. Jazri berkata, setiap peserta akan menjalani penempatan kerja selama tiga bulan di dua restoran terkemuka selepas menamatkan pengajian bagi melengkapkan kemahiran praktikal serta memperoleh pengalaman industri sebenar.
Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen jangka panjang pihaknya dalam memperkasa komuniti serta memberi sokongan kepada belia kurang berkemampuan agar mereka dapat mencapai potensi sepenuhnya.
“Di Mahsuri, kami percaya dalam memberi peluang yang benar-benar mampu mengubah kehidupan.
“Menerusi Program Chef Muda Mahsuri, kami bukan sahaja menyediakan biasiswa, tetapi turut membimbing generasi baharu bakat kulinari yang suatu hari nanti akan menyumbang kepada industri makanan Malaysia yang pesat berkembang,” katanya.
Sementara itu, Penasihat FIM, Master Chef Moh Johari Edrus berkata, program tersebut memberi ruang kepada golongan muda yang berhasrat untuk menceburi bidang kulinari.
Katanya, industri makanan dan minuman (F&B) merupakan sektor dinamik yang sentiasa menawarkan peluang besar dan melalui inisiatif berkenaan, graduan dapat dilahirkan dengan lebih yakin serta bersedia untuk menempuh alam pekerjaan.
“Program Chef Muda Mahsuri telah menjadi satu platform bagi anak muda Malaysia yang bercita-cita untuk membina kerjaya di dapur.
“Dengan menghubungkan pendidikan dengan pekerjaan, kita bersama-sama membina modal insan yang lebih kukuh untuk sektor kulinari negara,” katanya. – UTUSAN