SHAH ALAM: Peruntukan perundangan khas bagi mengawa selia penggunaan dan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diwujudkan bagi memastikan ia terus sesuai digunakan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undang-undang itu harus diwujudkan di bawah Kementerian Digital dan Komunikasi bagi memastikan penggunaan AI di negara ini berteraskan nilai tempatan.
Menurutnya, ia termasuk juga melindungi kepentingan dan hak cipta pengamal-pengamal seni tempatan yang merentasi pelbagai bidangnya seperti kartunis, perfileman, sasterawan dan sebagainya.
“Soal jaminan, bukan sahaja kartun, sesiapa juga seniman, filem, puisi kadang-kadang apa yang disebut (AI) mematikan kekuatan daya cipta, keupayaan seseorang seniman melakar. Jadi, harus ada juga beberapa peruntukan perundangan Kementerian Digital dan Komunikasi.
“Dengan mengambil kira untuk meletakkan negara kita tidak hanya mengikut acuan dari dunia luar, kemudian terperangkap, menghilangkan jati diri, nilai yang harus dipupuk di sini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku ‘Melukis Dengan Hati: Sebuah Biografi Seni 50 Tahun Dalam Bidang Kartun’ karya kartunis Zunar, hari ini.
Tambahnya, generasi muda juga perlu dilatih dengan ilmu yang tidak meminggirkan nilai, budaya dan agama dalam pembangunan AI supaya, garapan teknologi itu melontarkan maklumat yang mengambil kira identiti tempatan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, institusi pondok dan pelajarnya diseru menguasai bidang ilmu baharu dan AI bagi memastikan umat Islam mampu membina tamadun dan berdepan cabaran masa depan.
Perdana Menteri berkata, Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi tetapi antara negara yang merintis perubahan dalam AI.
Anwar menambah, beliau pernah membangkitkan hasil garapan daripada teknologi AI diperolehi kini adalah berdasarkan maklumat-maklumat yang dimasukkan oleh syarikat-syarikat pembangunnya.
“Agak menarik kerana diketahui semua dengan Infideon, Infineon, NVidia, Google, Microsoft , kalau jumpa ketua-ketua mereka saya selalu tanya bagaimana harus jawab dan tanpa kecuali semua mengaku, ya betul AI itu (termasuk) kesenian dan teknologi terkini.
“Tetapi, mereka tahu apa yang dilontarkan dan dimuntahkan oleh AI itu adalah apa yang dimasukkan. Jadi, yang dimasukkan sekarang seperti ChatGPT dan lain-lain itu dilaku dan dilakar oleh negara barat atau mana-mana lain,” ujarnya.
Tambahnya lagi, bagi memastikan AI di negara ini dibangun dengan nilai, budaya dan agama, harus diterap dengan elemen-elemen tersebut yang turut melibatkan pendidikan dalam kalangan generasi muda. – UTUSAN










