SHAH ALAM: Ustaz tular yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah di negeri ini didenda RM2,800 selepas mengaku salah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Rendah Syariah Selangor, semalam.
Faridul Firdaus Zaulkapli membuat pengakuan itu selepas mendengar pertuduhannya dibacakan.
Dia turut dikenakan penalti RM1,500 kerana gagal hadir pada prosiding yang sepatutnya berjalan pada 21 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, Faridul Firdaus, 39, didakwa mengajar perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dekat Surau Al-Huda, Seksyen 19, di sini.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 8.15 hingga 8.40 malam pada 2 September tahun lalu.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan oleh pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berdasarkan satu penyiasatan aduan diterima pegawai penguatkuasa pada 15 Ogos tahun lalu iaitu seorang lelaki disyaki mengajar agama Islam tanpa tauliah.
Pemerhatian kemudian dilakukan JAIS dekat surau berkenaan pada 2 September 2024 dan mendapati tertuduh me-mulakan kuliahnya selepas solat Maghrib yang dihadiri kira-kira 30 orang sebelum ditahan kira-kira pukul 9.10 malam selepas selesai solat Isyak di luar surau.
Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,800 dan penjara 10 hari jika gagal membayarnya selepas mendengar rayuan tertuduh serta rayuan balas daripada Pendakwa Raya Syarie, Siti Nor Hashibah Jamhari.
Beliau dalam penghakimannya memaklumkan, pendakwaan yang dilakukan terhadapnya bukanlah penafian kepada ke-ilmuannya tentang Islam, sebaliknya kegagalan mematuhi syarat memiliki tauliah bagi mengajar agama Islam di negeri ini.
Terdahulu, tertuduh yang juga dikenali sebagai Ustaz Farid Abu Auliya dalam mitigasinya memohon mahkamah mengenakan kerana tidak mempunyai sumber pendapatan selain perlu menanggung 10 orang anak berusia sembilan bulan hingga 14 tahun, tiga isteri dan kedua ibu bapanya.
“Saya mohon pertimbangan untuk memberikan keringanan paling minimum dan tidak dipenjarakan.
“Sebenarnya saya mempunyai tauliah bermula 2014 dan tamat tempoh pada Jun 2024, namun begitu tauliah ditarik dan saya berusaha membuat rayuan sebanyak dua kali kepada Pengarah JAIS dan MAIS. Dalam tempoh tersebut saya berusaha mematuhi semua undang-undang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, pihak pendakwaan dalam rayuan balasnya memohon mahkamah mengambil kira fakta tertuduh sedar tauliahnya tamat pada Jun 2025, namun masih menerima undangan pada 15 Ogos 2024 untuk menyampaikan ceramah di surau berkenaan.
Faridul Firdaus antara 44 individu yang ditarik balik tauliah mengajar agama Islam oleh MAIS sejak 2020 hingga tahun lalu. – UTUSAN










