JOHOR BAHRU: Seorang usahawan madu kerugian lebih RM100,000 akibat diperdaya seorang individu mendakwa bergelar Datuk untuk menjadi rakan kongsi perniagaan lembu korban di Thailand.
Mangsa, Mazli Hamzah, 37, mendakwa mula mengenali ‘Datuk’ tersebut sejak tahun lalu yang datang membeli produk madu diusahakannya dan pada Mac lalu mengajaknya berjumpa bagi membincangkan tentang peluang perniagaan.
“Saya bersetuju untuk bertemu di sebuah restoran. Dia meyakinkan saya pernah membuat perniagaan itu sebelum ini dan mengajak sebagai rakan kongsi. Pada mulanya saya berasa ragu-ragu, tetapi selepas itu dia bawa saya bertemu Pengarah Tabung Haji Johor di pejabatnya, menyebabkan saya mula percaya.
“Tidak lama kemudian saya serahkan wang tunai lebih RM100,000 kepadanya,” katanya dalam sidang akhbar di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Mazli mula mengesyaki Datuk tersebut sebagai ‘scammer’ apabila diminta untuk menambah modal pelaburan dalam jumlah yang lebih besar.
“Bermula dari itu, saya desak untuk kembalikan wang saya, namun Datuk berkenaan mula melarikan diri, panggilan telefon dan WhatsApp yang dihantar tidak dibalas. Saya pernah mencarinya di restoran miliknya untuk berjumpa secara berdepan, namun dia melarikan diri.
“Saya tidak mahu sebarang masalah, saya hanya mahu dia pulangkan kembali wang yang telah saya berikan sebelum ini,” katanya memberitahu turut dimaklumkan ‘Datuk’ tersebut telah menipu beberapa pihak lain sebelum ini.
Justeru, Mazli telah membuat laporan di Balai Polis Bandar Dato’ Onn, di sini pada 21 Julai lalu dan selepas mengetahui dia membuat laporan polis, Datuk terbabit mengugut untuk menyamannya sebanyak RM10 juta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya telah menerima laporan tentang kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, individu terbabit telah didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru tahun lalu atas kesalahan menggunakan gelaran Datuk palsu dari sebuah negeri. – UTUSAN










