JOHOR BAHRU: Seorang usahawan madu kerugian lebih RM100,000 akibat diperdaya seorang individu mendakwa bergelar Datuk untuk menjadi rakan kongsi perniagaan lembu korban di Thailand.
Mangsa, Mazli Hamzah, 37, mendakwa mula mengenali individu tersebut sejak tahun lalu yang datang membeli produk madu diusahakannya dan pada Mac lalu mengajaknya berjumpa bagi membincangkan tentang perniagaan.
“Dia meyakinkan saya pernah membuat perniagaan itu sebelum ini dan mengajak sebagai rakan kongsi. Pada mulanya saya berasa ragu-ragu, tetapi selepas itu dia bawa saya bertemu pengarah agensi kerajaan, saya mula percaya.
“Tidak lama kemudian saya serahkan wang tunai lebih RM100,000 kepadanya,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Mazli mula ditipu apabila diminta untuk menambah modal pelaburan dalam jumlah besar.
“Bermula dari itu, saya desak untuk kembalikan wang saya, namun dia mula melarikan diri, panggilan telefon dan kirim WhatsApp tidak dibalas. Saya pernah mencarinya di restoran miliknya, namun dia melarikan diri.
“Saya tidak mahu sebarang masalah, saya hanya mahu dia pulangkan kembali wang yang telah saya berikan sebelum ini,” katanya,
Dalam pada itu, Mazli telah membuat laporan di Balai Polis Bandar Dato’ Onn, di sini pada 21 Julai lalu dan selepas mengetahui dia membuat laporan polis.
Katanya, individu itu mengugut menyamannya sebanyak RM10 juta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya telah menerima laporan tentang kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-UTUSAN










