UMNO lebih kuat jika Hishammuddin kembali - Pandak

UMNO lebih kuat jika Hishammuddin kembali – Pandak

PANDAK Ahmad (dua, kiri) bertanyakan sesuatu kepada Mohd. Roslan Mohd. Tahir tentang buku 'Titian Perjalanan Sebuah Kehidupan' di Open University Malaysia Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penyertaan semula Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam UMNO akan mengukuhkan kekuatan parti menjelang pilihan raya akan datang.

Justeru, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad berharap kedua-dua pihak terlibat dapat menjernihkan keadaan.

Menurutnya, tiada kesalahan yang tidak boleh dimaafkan seperti situasi melibatkan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang diterima semula menyertai UMNO.

“Semua orang ada buat silap, jadi lebih baik semua pihak berlapang dada dan kembali bekerjasama demi parti. Penyertaan semula Hishammuddin akan perkukuhkan lagi UMNO berdepan pilihan raya.

“Mungkin segelintir orang kata UMNO sudah kukuh, tetapi itu disebabkan Kerajaan Perpaduan, jika kita kembali bergerak solo adakah kita benar-benar kuat,” katanya selepas melancarkan buku ‘Titian Perjalanan Sebuah Kehidupan’ tulisan Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Dr. Mohd. Roslan Mohd. Tahir di Open University Malaysia (OUM), di sini hari ini.

Pandak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar juga berharap kepimpinan UMNO serta Hishammuddin dapat berbincang bagi kebaikan semua pihak terlibat.

“Takkan hanya kerana ego, kita mahu melihat parti ini lemah, kerana jika situasi ini berterusan UMNO sendiri akan lemah dan rugi.

“Individu seperti Hishammuddin banyak pengorbanan dan jasa kepada parti, takkan kerana satu kesilapan kita hukum mereka sebegini,” katanya.

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Isnin lalu tidak membincangkan isu penggantungan keahlian Hishammuddin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN