UDA rintis program lahir bakat muda sukan boling

UDA rintis program lahir bakat muda sukan boling

MOHD. Annuar Zaini (barisan depan, tengah) menunjukkan isyarat bagus ketika bergambar bersama murid selepas menjalani latihan pada Program UDA Cares: ‘Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara’ di Angsana Ipoh Mall, Ipoh, Perak, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: UDA Holdings Berhad (UDA) terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan masyarakat menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyokong aktiviti melahirkan bakat muda dalam sukan boling.

Program UDA Cares: ‘Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara’ itu memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk mengembangkan bakat dalam sukan berkenaan.

Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, program itu dirintis untuk memberi ruang dan akses kepada pelajar melibatkan diri dalam sukan boling yang lazimnya memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Katanya, melalui kerjasama strategik sektor awam dan swasta, program itu dilihat dapat memastikan tiada bakat muda terpinggir akibat faktor berkenaan.
“Perbelanjaan dan kos penyertaan tinggi dalam sukan boling ini sering menidakkan peluang kepada bakat-bakat muda di bangku persekolahan terutamanya golongan B40 untuk melibatkan diri secara aktif.

“Sedangkan kita yakin dalam kelompok ini sebenarnya tersembunyi bakat besar yang mampu diketengahkan sebagai juara sekiranya diberi peluang, bimbingan dan sokongan.

“Sehubungan itu, melalui kerjasama strategik sektor awam dan swasta, kita melihat program ini akan menjadi wadah mengangkat sukan boling sebagai platform pembangunan holistik untuk generasi muda membina jati diri, disiplin dan memupuk semangat kesukanan,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil dan bekas atlet boling kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

Program UDA Cares: ‘Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara’ itu dirintis sejak Februari lalu dengan mesyuarat pertama bersama agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya lancar dan memberi impak tinggi.

Sesi pemilihan peserta berlangsung pada 10 dan 11 Jun lalu melibatkan 120 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kinta, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kampung Simee, SK Cator Avenue dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack Simee.

Daripada jumlah tersebut, 30 pelajar berpotensi dikenal pasti dan kini menjalani latihan intensif selama 16 minggu bermula 16 Jun hingga 6 Oktober 2025.

Bagi menjayakan program ini, UDA berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perak, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Yayasan Perak dan turut mendapat sokongan pihak swasta iaitu Perak Transit Berhad dan FND Empire Sdn Bhd (pengusaha pusat boling Lite Superbowl JB9 di Angsana Ipoh Mall).

Menurut Mohd. Annuar , kesemua peserta yang dipilih itu akan dilatih oleh Syaidatul Afifah yang juga merupakan anak kelahiran Ipoh dibantu dua jurulatih profesional tempatan.

Katanya, gabungan kepakaran jaguh boling itu bersama jurulatih tersebut diharap dapat mencungkil potensi sebenar peserta sekali gus mencapai matlamat program.

“Kita percaya gabungan pengalaman dan kepakaran pasukan jurulatih ini mampu mencungkil potensi peserta serta melahirkan juara dalam sukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemilihan Angsana Mall Ipoh sebagai lokasi rasmi latihan adalah langkah strategik bagi memperkasa komuniti tempatan menerusi kemudahan milik UDA, sejajar dengan penjenamaan syarikat L.I.F.E. – Legacy, Integrated, Finesse dan Enrich.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN