UDA komited perkukuh ekonomi, pemilikan hartanah bumiputera

UDA komited perkukuh ekonomi, pemilikan hartanah bumiputera

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memasukkan kunci sebagai gimik pelancaran rumah kedai UDA Vista sambil diperhatikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor sempena Majlis Pelancaran Ekspo Hartanah Johor 2025 (JPEX 2025) di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) terus merancakkan ekonomi usahawan dan memperkukuhkan pemilikan hartanah dalam kalangan bumiputera menerusi pelancaran Kedai Kos Sederhana (KKS) UDA Vista khusus untuk kuota awam Melayu.

Terletak di lokasi strategik iaitu Bandar UDA Utama, di sini, UDA Vista merupakan sebuah projek hartanah komersial mampu milik di bawah inisiatif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

UDA mengangkat inisiatif KKS mampu milik ini sebagai platform untuk membangunkan hab usahawan bumiputera dengan menawarkan 62 unit ruang perniagaan pada harga mampu milik bermula RM200,000.

Setiap unit dengan susun atur yang moden, luas dan praktikal sesuai untuk pelbagai jenis perniagaan serta aktiviti komersial.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, sejajar dengan aspirasi kerajaan, UDA komited melaksanakan inisiatif strategik dan mampan yang berupaya memacu pertumbuhan usahawan bumiputera, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, usaha itu bukan sahaja memperkukuhkan ekonomi tempatan, malah turut merancakkan pembangunan sektor hartanah, terutamanya di negeri Johor yang sedang pesat membangun.

“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), UDA sentiasa memainkan peranan proaktif dalam memperluaskan peluang pemilikan hartanah bumiputera dan menyediakan ruang niaga strategik pada harga mampu milik.

“UDA merakamkan penghargaan kepada PKPJ atas penganjuran JPEX 2025, yang telah memberi peluang untuk pelancaran projek KKS UDA Vista ini disegerakan lebih awal daripada jadual asal pada September 2025. Produk ini telah diiklankan pada hari ini dan permohonan boleh dibuat melalui sistem eRumah Johor,” katanya.

Pelancaran UDA Vista telah berlangsung di reruai UDA sempena JPEX 2025 yang bertempat di Angsana Johor Bahru Mall, hari ini dan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Johari Shukri.

Selain UDA Vista, UDA turut menawarkan pelbagai jenis hartanah seperti rumah teres satu tingkat, rumah bandar, premis pejabat, rumah berkembar, banglo dan pangsapuri untuk tempoh 2025-2026 dengan harga serendah RM288,054.

“Hartanah yang ditawarkan direka khusus untuk memenuhi keperluan golongan muda, keluarga, usahawan dan pelabur dengan konsep yang sempurna bagi setiap lapisan masyarakat,” tambahnya.

Menurutnya, usaha itu mencerminkan komitmen UDA dalam menyokong usaha kerajaan menyediakan rumah mampu milik yang inklusif, sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi setempat secara mampan.

Jelasnya, usaha itu juga melambangkan keseimbangan strategik UDA dalam menyokong agenda sosial dengan menyediakan kediaman mampu milik dan ruang niaga bernilai tinggi sambil memperkukuh kedudukan jenama UDA secara komersial dan berdaya saing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN