KUALA LUMPUR: Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) perlu menjadi peneraju utama bagi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi bidang pertanian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata., matlamat itu juga supaya generasi anak-anak pekebun kecil dapat tampil sebagai pelopor dalam bidang pertanian pintar, agroteknologi dan pemodenan luar bandar.
“UCAM bukan sahaja menyediakan laluan TVET dalam bidang pertanian moden, tetapi turut menawarkan kursus dalam perniagaan, pengurusan ladang, teknologi makanan dan pensijilan halal. Inimenjadikan UCAM antara institusi TVET yang relevan dengan masa depan desa.
“UGAM mesti ada ‘game changer’. Biarlah UCAM menjadi peneraja utama dalam TVET pertanian di negara ini.
“Malah saya berhasrat agar UCAM menjadi institusi TVET pertanian yang ternama di rantau Asia ini. Insya-Allah, itu harapan saya,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap pada Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Manndzri Nasib berkata, pelajar cemerlang UCAM perlu meneruskan momentum kejayaan dengan melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan, termasuk TVET.
Katanya, kerajaan kini memberi tumpuan terhadap bidang TVET sebagai satu laluan kerjaya yang mampu menjamin masa depan generasi muda, khususnya dari luar bandar.
“Saya menyeru para pelajar agar tidak berhenti di sini. Teruskan kecemerlangan ke peringkat lebih tinggi, termasuk dalam bidang TVET.
“Pengajian dalam bidang TVET tidak lagi dianggap sebagai laluan kedua, malah telah diangkat sebagai pilihan utama dalam membina kerjaya berimpak tinggi yang selari dengan keperluan industri dan pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN










