KUANTAN: Kerajaan dirayu meneliti semula polisi dan proses tuntutan insurans yang didakwa sering menyukarkan pemilik kenderaan serta cuba digagalkan oleh syarikat insurans atas pelbagai alasan teknikal.
Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) menerima rungutan dan luahan kekecewaan pemilik kenderaan terhadap proses tuntutan insurans yang didakwa terlalu rumit, lambat dan tidak memihak mereka.
Presidennya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, antara alasan diberikan oleh syarikat-syarikat insurans termasuk kekurangan laporan lengkap, kegagalan mendapatkan pengesahan pihak ketiga dan risiko kemalangan yang tinggi terutama melibatkan motosikal berkuasa tinggi.
“Pemilik kenderaan menyatakan, mereka membayar polisi setiap tahun tetapi apabila berlaku kemalangan, pelbagai alasan diberikan sehingga seolah-olah syarikat insurans sengaja tidak mahu membayar tuntutan yang dibuat.
“Ada juga kes di mana dokumen lengkap dihantar, penilai syarikat beri pampasan jauh lebih rendah daripada kos sebenar pembaikan. Ia seolah-olah cuba digagalkan,” dakwanya di sini hari ini.
Difahamkan, hanya sekitar 40 peratus daripada lebih 700,000 kes kemalangan jalan raya pada tahun lalu difailkan sebagai tuntutan insurans, dipercayai akibat kekangan birokrasi atau demi mengekalkan diskaun tanpa tuntutan (NCD).
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, pemilik kenderaan merayu kerajaan segera campur tangan dengan menyemak semula dasar serta syarat polisi yang ditawarkan syarikat insurans.
Jelasnya, antara cadangan dikemukakan termasuk penubuhan saluran aduan khas untuk mangsa tuntutan gagal, semakan struktur polisi insurans agar lebih mesra pengguna dan memperkenalkan pampasan minimum standard bagi kes tertentu.
“Kerajaan juga disaran menubuhkan sebuah jawatankuasa khas antara Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneliti perkara ini secara menyeluruh.
“Ini penting demi menjamin hak pengguna dan meningkatkan keyakinan terhadap industri insurans negara,” katanya. – UTUSAN