Tunggu masa menyembah bumi

Tunggu masa menyembah bumi

MOHAMAD Setapa menunjukkan keadaan rumahnya yang uzur di Kampung Pengkalan Pauh, Kedai Menanti, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kesempitan hidup memaksa seorang warga emas di Kampung Pengkalan Pauh, Kedai Menanti di sini, berlindung di sebuah rumah usang yang reput dan menunggu masa menyembah bumi kerana dimakan anai-anai.

Lebih membimbangkan, se­tiap kali ribut rumah itu bergegar membuatkan Mohamad Setapa, 79, tidak putus berdoa semoga dirinya selamat.

Mohamad yang tinggal bersendirian berkata, rumah yang dibina menggunakan kayu terbuang sejak 1981 itu sudah tidak selamat untuk dihuni kerana dimakan anai-anai bermula lima tahun lalu.

Katanya, kekangan kewangan membuatkannya tidak mampu membaik pulih kediaman, walaupun menyedari ia sudah tidak selamat.

“Punca utama pendapatan saya ketika ini adalah bantuan am dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan serta MySara RM150 sebulan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya ada dua anak tetapi mereka pun hidup susah. Walaupun ada menerima sumbangan kayu atau zink, saya tidak mampu untuk membayar upah tukang rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohamad berkata, impiannya sebelum menghembuskan nafas terakhir adalah ingin menduduki rumah yang lebih selamat dan berharap ada pihak sudi membantu merealisasikannya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohamad di talian 019-5215578. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN