NARATHIWAT (THAILAND): Enam anggota polis dan seorang penduduk tempatan cedera dalam satu letupan bom di Daerah Sungai Padi di sini, pagi ini.
Kejadian pukul 7.17 pagi itu berlaku semasa anggota Unit Peronda 20 Polis Daerah Sungai Padi sedang menjalankan tugas mengawal keselamatan guru di Kampung Ban Chu Rae, Mukim Sakor.
Enam pegawai polis yang cedera itu Sarjan Mejar Masaki Mamu, Sarjan Mejar Jira Chulanil, Sarjan Mejar Wutthichai Kongsong, Sarjan Mejar Mahader Kung-ae, Sarjan Mejar Chaidee Jeh-bosu Sarjan Mejar Mohsen Ali-tomah dan penduduk Marodi Samae.
Pusat Perintah Hadapan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand (ISOC Wilayah 4) ketika dihubungi berkata, semasa melalui kawasan kejadian, sebutir bom yang ditanam di tepi jalan meletup secara tiba-tiba.
“Kekuatan letupan itu mencederakan enam anggota polis dan orang awam yang sedang menunggang motosikal di kawasan tersebut. Kesemua mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Pihak berkuasa telah mengepung kawasan berkenaan bagi memudahkan pasukan forensik menjalankan siasatan,” katanya. – UTUSAN










