PUTRAJAYA: Malaysia berbangga dengan peranan besar dimainkan oleh Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2023, Sheikh Abubakr Ahmad dalam menyelamatkan nyawa warganegara India, Nimisha Priya, yang berdepan hukuman mati di Yaman.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, usaha murni tersebut memperlihatkan kebijaksanaan dan pendekatan damai yang dibawa oleh ulama tersohor itu dalam menangani konflik penuh emosi yang telah berlarutan sejak tujuh tahun lalu.
Katanya, perkembangan positif mula dizahirkan apabila buat pertama kalinya rundingan rasmi berlangsung dengan keluarga Almarhum Talal Abdo Mahdi, lelaki tempatan yang meninggal dunia dalam kes membabitkan Nimisha, selepas rundingan sebelum ini menemui jalan buntu.
Jelasnya, dialog bersejarah itu hanya dapat direalisasikan melalui campur tangan diplomatik Mufti Besar India itu yang dihormati dunia Islam, sekali gus membuka pintu damai yang sebelum ini tertutup rapat.
“Kejayaan itu membuktikan nilai ilmu, hikmah dan kasih sayang adalah asas kepada dakwah Islam yang membawa keamanan dan rahmat kepada seluruh umat manusia.
“Malaysia amat berbangga menjadi antara negara terawal yang mengiktiraf sumbangan Sheikh Abubakr Ahmad melalui penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2023.
“Peranan beliau bukan sahaja menyebarkan nilai keamanan dan wasatiyyah di India, tetapi kini terbukti menjadi jambatan perdamaian antarabangsa yang menyelamatkan nyawa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kes Nimisha menjadi perhatian dunia yang merupakan seorang jururawat dari Kerala, India, dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah Yaman pada tahun 2018 atas tuduhan membunuh rakan kongsi perniagaannya, Talal Abdo Mahdi, seorang warga Yaman.
Kes Nimisha menjadi perhatian dunia yang merupakan seorang jururawat dari Kerala, India, dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah Yaman pada tahun 2018 atas tuduhan membunuh rakan kongsi perniagaannya, Talal Abdo Mahdi, seorang warga Yaman.
Insiden berlaku pada Julai 2017, apabila Nimisha menyuntik Mahdi dengan ubat pelali dalam usaha untuk mendapatkan semula pasportnya yang didakwa telah dirampas. Suntikan itu menyebabkan kematian, dan mayat Mahdi kemudian dibuang ke dalam sebuah tangki air.
Nimisha mendakwa beliau menjadi mangsa penderaan fizikal dan psikologi oleh Mahdi, termasuk pemalsuan dokumen perkahwinan bagi mengawal kebebasannya. Kes ini menjadi tumpuan antarabangsa selepas Mahkamah Yaman mengekalkan hukuman mati pada 2023, meskipun rayuan telah difailkan.
Pada Julai 2025, hukuman mati yang dijadualkan dilaksanakan kelmarin telah ditangguhkan, susulan campur tangan tokoh agama Sheikh Abubakr atau nama sebenarnya Kanthapuram Aboobacker Musliyar dan Sheikh Habib Umar Hafiz, serta rundingan berterusan berhubung pampasan diyah (blood money) dengan keluarga mangsa. Setakat ini, pengampunan rasmi masih belum diberikan. – UTUSAN