PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan meningkatkan pemeriksaan ke atas premis-premis kitar semula yang bermasalah dengan mengenakan tindakan penguatkuasaan lebih tegas jika didapati melanggar undang-undang secara berulang.
Tindakan itu antaranya melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan, menggantung lesen premis yang ditetapkan dan menyediakan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah sebagaimana yang diperuntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, tindakan itu antara langkah penambahbaikan susulan laporan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkaitan isu penguatkuasaan terhadap premis kitar semula di Johor.
Beliau berkata, walaupun siasatan EAIC mendapati tiada sebarang salah laku oleh pegawai JAS Negeri Johor serta premis yang diadukan memiliki lesen sah, jabatan tetap mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh aspek pemantauan dan penguatkuasaan.
“JAS telah menyemak dan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada bagi menyelaraskan pelaksanaan penguatkuasaan di semua peringkat.
“SOP yang dikemas kini ini juga diedarkan kepada semua anggota JAS negeri dan daerah, disertai dengan sesi libat urus berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, EAIC mendedahkan hasil siasatan pihaknya berikutan aduan berkaitan dakwaan kegagalan JAS Negeri Johor mengambil tindakan terhadap sebuah premis kitar semula yang beroperasi tanpa lesen sah di Kawasan Perindustrian Segamat.
EAIC mengenal pasti beberapa kelemahan dalam pelaksanaan tindakan penguatkuasaan oleh JAS Johor meskipun undang-undang dan prosedur sedia ada telah ditetapkan.
Antara kelemahan yang dikenal pasti termasuklah keberkesanan hukuman dalam mencegah kesalahan berulang, ketidakseragaman dalam pelaksanaan garis panduan penguatkuasaan di peringkat negeri dan daerah serta kelewatan dalam pelaksanaan garis panduan kompaun yang telah dipinda.
Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff berkata, garis panduan kompaun turut dipinda bagi membolehkan tindakan yang lebih adil dan berkesan.
Ini termasuk keperluan mendapatkan kelulusan daripada Timbalan Pendakwa Raya sebelum pengeluaran tawaran kompaun, bagi memastikan kepatuhan kepada kehendak undang-undang.
Dalam perkembangan berkaitan, kataya, pewartaan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Pewakilan Kuasa kepada Jabatan Kerajaan, PBT dan Perbadanan) 2025 telah berkuat kuasa pada 8 Julai lalu.
:Pewakilan ini menggabungkan enam perintah sedia ada di bawah satu kerangka undang-undang dalam menangani isu penguatkuasaan di peringkat agensi berkaitan secara lebih bersepadu dan sistematik.
“Pelan tindakan penambahbaikan secara berfasa juga sedang dirangka dan dilaksanakan untuk memperkukuh keupayaan penguatkuasaan secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN