KUALA LUMPUR : Selebriti media sosial dan usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan keterlaluan selebriti kontroversi, Diva AA yang didakwa memijak beg tangan daripada koleksi jenamanya secara terbuka.
Katanya, insiden berkenaan berlaku sewaktu dia sedang giat menjalankan kempen bagi mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dalam kategori jualan beg terpantas menerusi siaran langsung di platform media sosial.
Menurut Aliff Syukri, 38, tindakan itu bukan sahaja disifatkan sebagai biadab, malah mencerminkan sikap tidak profesional selebriti terbabit dalam menyalurkan rasa tidak puas hati.
“Jujur saya katakan, ini bukan gimik atau lakonan semata-mata. Saya dalam keadaan tidak sihat, anak-anak juga turut kurang sihat, tetapi saya tetap cuba stabilkan diri demi menjayakan kempen ini.
“Tiba-tiba saya terlihat Diva AA pijak beg saya, saya rasa sangat terkilan. Kalau betul tak suka saya, datanglah bersemuka.
“Jangan buat tuduhan melulu kata saya penipu atau scammer,” katanya.
Meskipun jelas terguris hati dan marah dengan perbuatan tersebut, Aliff bagaimanapun memilih untuk tidak membawa perkara itu ke muka pengadilan.
“Saya boleh saja maki dia, tapi bagi saya kalau kita naik sama-sama dalam industri, biarlah beradab. Aku tak maafkan kau, sampai mati aku akan ingat benda ini.
“Tapi aku tak nak saman, sebab aku tahu kau tak ada duit. Kalau tak suka pun, jangan pijak. Saya ini sudahlah sakit.
“Tak cuma itu, dia turut kata keturunan saya tak elok. Macamlah keturunan dia elok sangat,”katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai keadaan kesihatannya, bapa kepada enam cahaya mata itu mengakui sedang berdepan dengan masalah kesihatan yang disifatkan agak luar biasa sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, simptom aneh yang dialami menyebabkan seluruh tubuhnya ditumbuhi tompok-tompok kemerahan dan menggigil ketika bersiaran langsung.
“Ada yang kata saya kena jilat jin, tapi saya sendiri tak tahu apa puncanya. Ketika live, saya tiba-tiba menggigil, badan gatal satu badan.
“Tak boleh bangun tidur, semalam isteri saya bawa ke klinik dan saya terpaksa ambil dua suntikan,” katanya.
Selain itu, Aliff turut meluahkan kebimbangannya jika penyakit tersebut berpunca daripada unsur mistik atau perbuatan khianat.
“Sepanjang hidup saya tak pernah kena macam ini. Kalau boleh saya tak nak percaya benda-benda macam ni, tapi saya harap tak ada orang yang cuba buat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aliff memaklumkan kempen jualan yang dijalankannya merupakan satu inisiatif peribadi bagi mencipta sejarah dalam MBOR menerusi jualan produk paling pantas secara langsung di media sosial.
Malah, dia juga berikrar akan menyumbangkan sebahagian hasil jualan kepada golongan anak-anak yatim sekiranya misi berkenaan berjaya direalisasikan pada 3 Ogos ini.
“Hari ini saya jalankan jualan secara ‘underground’ dengan bagi jeruk mangga dan tudung percuma kepada pengunjung.
“Kalau impian saya tercapai Ahad ini, saya akan kongsi rezeki dengan anak-anak yatim sebagai tanda syukur,” jelasnya.