PETALING JAYA: Tiga individu termasuk dua warga asing ditahan bersama 936 ayam sabung baka Filipina dalam serbuan di Papar, Sabah pada Jumaat lalu dengan nilai rampasan RM4.7 juta.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.35 pagi dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cawangan Kota Kinabalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, sebanyak 30 sangkar besi, 107 besi penanda ayam dari Filipina dan pelbagai jenis vitamin serta ubat-ubatan bagi kegunaan ayam berkenaan.
Individu ditahan terdiri seorang lelaki tempatan dan masing-masing seorang lelaki warga Indonesia dan Filipina berusia 38 hingga 59 tahun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 kerana dipercayai mengimport haiwan tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azmi, serbuan di Kampung Kambizaan, Jalan Kayau Kambizaan itu dijalankan selepas Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA mendapat maklumat mengenai aktiviti penyimpanan baka ayam sabung dari Filipina tanpa lesen sah di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, serbuan itu juga bagi mengekang aktiviti pemeliharaan ayam sabung dari negara jiran tanpa lesen sah dan membanteras kegiatan perjudian sabung ayam di negeri berkenaan.
Sementara itu, Azmi memaklumkan, bagi tempoh Januari tahun ini hingga semalam, PDRM telah melakukan 179 serbuan di seluruh negara dan menahan 314 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan subsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste.
“Keseluruhan jumlah rampasan bagi tempoh berkenaan dianggarkan RM550,947,488.81,” jelasnya.
Azmi, memberi jaminan polis akan mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejaki dan membanteras kegiatan berkenaan dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam.
“Orang awam digalakkan memberi maklumat kepada PDRM untuk membantu membanteras jenayah ini sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN










