MELAKA : Semua pemilik dan pengusaha premis diwajibkan mematuhi arahan pemaparan tanda larangan merokok seperti diperuntukkan dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 April 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, perkara itu terkandung dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Tanda Amaran Larangan Merokok) 2024.
Katanya, premis seperti bangunan kerajaan dan swasta, premis makanan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan, pengangkutan awam, kedai serbaneka dan dobi layan diri diwajibkan mempamerkan tanda larangan bersaiz standard yang mudah dilihat di lokasi strategik seperti pintu masuk dan kawasan tumpuan pelanggan.
“Tanda amaran itu juga mesti memaparkan simbol larangan termasuk terhadap penggunaan rokok elektronik.
“Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh mengakibatkan kompaun atau tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM5,000,” katanya di sini hari ini.
Sebanyak 5,858 premis diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dari 1 Januari hingga 30 Mei tahun ini dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 222 premis dikompaun atas kegagalan mematuhi spesifikasi tanda larangan merokok.
“Sebanyak 116 kompaun melibatkan premis perniagaan dan tempat kerja, 102 premis makanan serta empat kompaun dikenakan ke atas premis dobi,” katanya.
Ngwe turut memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat demi memastikan persekitaran awam bebas asap rokok, selain menyeru orang ramai membuat aduan jika mendapati pelanggaran peraturan di mana-mana premis. – UTUSAN