PELAKON, Azhar Sulaiman bersyukur kerana selepas 36 tahun bergelar pelakon, baru sekarang beliau diberi watak mencabar seperti Pak Bakar, individu kurang upaya (OKU) dalam drama Hilang Kasyorga arahan Feroz Kader.
Azhar berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan penerbit drama berkenaan yang sekali gus membebaskan beliau daripada kepompong stereotaip.
Anak jati Bentong, Pahang ini mengakui ‘muak’ dengan karakter klise seperti lelaki baik, individu bergelar Datuk dan berbagai lagi watak yang seringkali ditawarkan kepada beliau sebelum ini.
“Pada usia sekarang, saya mencari watak yang lebih mencabar dan berlainan kerana bosan dengan watak-watak yang sama berulang kali.
“Contoh watak Pak Bakar yang mana saya terpaksa berjalan dalam keadaan tempang untuk menunjukkan keadaannya yang kurang upaya. Disebabkan itu juga, kaki saya bengkak selain pinggang saya juga sakit selepas melakonkannya.
“Tapi saya berterima kasih kepada penerbit drama Hilang Kasyorga kerana tidak memberi saya watak yang klise dan tidak menguji kemampuan lakonan saya.
“Watak berat seperti yang saya dan pelakon-pelakon seangkatan saya harapkan. Kami perlukan watak yang menguji kemampuan lakonan kami,” katanya yang ditemui pada sidang media dan tayangan episod pertama drama tersebut.
Drama yang ditayangkan di saluran DEGUP, Unifi TV itu turut menampilkan Kamal Adli, Nabila Huda, Ellie Suriaty dan ramai lagi.
Aktor berusia 53 tahun itu dalam masa yang sama tidak menafikan rupa paras dan fizikal mungkin menjadi faktor mempengaruhi watak yang diberikan kepadanya.
“Dulu, saya tak tahu bagaimana nak menjawab pertanyaan wartawan mengenai cabaran lakonan kerana watak-watak yang saya bawakan sebelum ini pada saya biasa dan berulang.
“Tapi sekarang ini apabila diberikan watak yang berat, dapatlah saya ceritakan tentang persediaan yang saya buat mengenainya,” kongsinya lagi.
Pelakon yang mencipta nama menerusi filem Mira Idora itu juga teruja berkongsi mengenai karakter lelaki lembut menerusi sebuah drama 15 episod yang dijangka menemui penonton sekitar penghujung tahun ini.
“Menerusi drama itu, saya melakonkan watak seorang lelaki berusia yang juga penghidap HIV yang disisihkan anak-anak kerana bergelumang dengan aktiviti persundalan.
“Saya cukup berhati-hati membawakan watak ini kerana ia watak sensitif yang memaparkan realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Yang saya harapkan adalah agar mesej drama ini sampai kepada penonton,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Azhar menegaskan persetujuan membawakan watak tersebut bukan bertujuan mempromosikan budaya songsang sebaliknya mahu membuka mata penonton mengenai gejala sosial yang semakin memburuk kini.
“Sebagai pelakon, akidah saya tidaklah terpesong disebabkannya. Naskhah ini sarat dengan banyak pengajaran yang boleh diambil penonton, banyak mesej postitif yang cuba disampaikan menerusinya. Yang cuba diketengahkan adalah isu kepincangan dalam masyarakat, itu sahaja,” jelasnya.-UTUSAN