PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin sekali lagi meraih perhatian dalam kalangan warganet selepas membangkitkan isu royalti lagu ciptaan Allahyarham suaminya, Johan Nawawi iaitu Sinaran.
Bagai mahu menuntut bela hasil kerja keras arwah suami, Nora memaklumkan sehingga kini lagu nyanyian Datuk Sheila Majid itu hanya mendapat bayaran sebanyak RM60.
“Lagu terkenal Sinaran, berkumandang di merata tempat, penulis lirik lagu Sinaran iaitu arwah Johan Nawawi hanya mendapat RM60 (royalti) sehingga kini,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Dalam hantaran sama, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu turut meluahkan rasa kesal apabila pihak yang sepatutnya bertanggungjawab tidak mempunyai usaha untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Malangnya tiada pihak yang ingin membela nasib komposer dan penulis lirik ini,” luahnya.
Untuk info, Nora pernah berkahwin dengan Johan pada 1992 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Bagaimanapun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.-UTUSAN