KUALA LUMPUR: Genap dua bulan mendirikan rumah tangga, penyanyi, Jaclyn Victor mengakui dirinya tiada niat mahu sembunyikan perkahwinan keduanya yang berlangsung pada 25 Mei lalu kepada umum.
Jaclyn berkata, dia lebih selesa untuk tidak menghebahkan perkahwinannya bersama seorang paderi, Calvin T Samuel kerana sedar akan faktor usianya yang sudah meningkat dan status ibu tunggalnya.
“Tiada niat mahu berahsia cuma saya lebih selesa tidak menghebahkannya kepada umum. Umur saya sudah begini tambah pula ini bukan perkahwinan pertama saya.
“Saya juga tidaklah mahu berahsia selama-lamanya kerana saya tahu rakan-rakan yang hadir ke majlis resepsi saya akan berkongsi perkara itu di media sosial.
“Jadi perkara itu tidak perlu dihebohkan. Biarlah saya jadikan ia sebagai sesuatu yang amat peribadi,“ katanya.
Jaclyn berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis An Intimate Afternoon with Bunga Citra Lestari (BCL) dan seorang pemain biola profesional, Dennis Lau sempena konsert Eternal Love Timeless Romance yang bakal berlangsung pada 27 September ini.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Gemilang itu mengakui selain memiliki rupa paras yang menarik, dirinya jatuh hati pada keperibadian lelaki berstatus duda itu yang dikatakan mudah untuk berkomunikasi.
“Apa yang membuatkan saya tertarik pada dia kerana dia seorang yang tinggi, berkulit gelap dan kacak. Dia juga seorang yang baik dan tenang. Saya suka cara dia layan anak-anak saya.
“Dia banyak habiskan masa bersama mereka. Hubungan saya dan dia pun tidak rasa kekok. Dia seorang pendengar yang baik dan sifatnya itu membuatkan saya selesa berkongsi masalah dan berkomunikasi dengannya,” jelasnya.
Turut terbuka memperkenalkan suaminya kepada pengamal media, Jaclyn juga memberi ruang kepada Calvin untuk berkongsi detik awal pertemuan mereka sebelum menjalinkan hubungan cinta.
“Kami bertemu dua tahun lalu ketika saya cuti sabatikal di Malaysia. Saya menghadiri sebuah acara di mana Jaclyn membuat persembahan. Itu adalah kali pertama kami bertemu.
“Saya suka semuanya tentang Jaclyn dan dia adalah seorang yang merendah diri dan seorang wanita yang luar biasa,” ujarnya.-UTUSAN