BANGI: Kementerian Pendidikan KPM) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) berjaya menoktahkan isu kekurangan guru di negara ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelbagai mekanisme dan langkah dilaksanakan bagi menoktahkan isu itu serta akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Beliau turut berkata, guru-guru yang dihantar bagi mengisi kekosongan adalah guru yang berkualiti tinggi.
“SPP telah melaksanakan reformasi bagi memastikan bahawa tiada lagi isu berkaitan dengan kekurangan guru di Malaysia dan kita telah menoktahkan.
“Ke arah itu, bagi memastikan bahawa isu kekurangan guru ini dapat kita atasi dengan pelbagai mekanisme khususnya, memastikan bahawa guru-guru yang dihantar adalah berkualiti dan dapat memenuhi keperluan anak-anak didik kita.
“Jadi isu kekurangan guru ini. Alhamdulillah, dengan rakan sinergi kita, SPP telah berjaya atasi dan InsyaAllah akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya berucap dalam Istiadat Konvokesyen Ke-15 Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM di sini, hari ini.
Tambah Fadhlina, laluan menyertai IPG dibuka seluas-luasnya termasuk kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Tahfiz Ulul Albab (TMUA).
“Permohonan masuk IPG meningkat setiap tahun. Menunjukkan keinginan yang tinggi bergelar pendidik. Namun, menjadi guru tidak mudah. Semua pendidik perlu nyala rasa sebagai guru,” katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya, pada tahun depan juga menyaksikan kohort pertama program sarjana IPGM yang akan bergraduat.
“Kita akan menyaksikan pasukan pertama, InsyaAllah akan menamatkan sarjana di IPG tahun depan. Selepas mereka dapat ijazah, IPG juga sediakan ruang sambung pendidikan ke peringkat sarjana,” katanya. – UTUSAN